Hanya 90-minit memisahkan pasukan Sarawak FA dengan aksi di separuh akhir dimana pasukan Kedah FA dilihat sudah pasti menunggu selepas membelasah pasukan Liga FAM PKNP, 6-1.
Berbekalkan kedudukan seri 1-1 dengan Terengganu FA Sabtu lalu, anak-anak David Usop sudah pasti gembira bahawa mereka kini mempunyai peluang terbaik untuk melakar sejarah era baharu dengan memastikan pasukan yang dibintangi 90% pemain anak jati Sarawak melangkah ke pentas akhir Piala FA selepas hampir 10 tahun kecewa kerana terpinggir dari piala yang mereka menangi pada tahun 1992.
Mana tidaknya, pasukan yang bertapak di Kuching itu kini hanya perlu memastikan mereka seri menentang Terengganu FA di dalam perlawanan Suku Akhir kedua kelak, dan mereka akan terus ke Separuh Akhir. Ianya nampak begitu mudah di atas kertas.
Sungguhpun demikian, tugas getir menanti anak buah David kerana Terengganu FA dibawah Irfan Bakti sudah mula giat berlatih untuk memastikan mereka kembali dari kepulauan Borneo penuh gembira.
Menurut laman web rasmi Terengganu FA, Irfan masih gembira dengan keputusan seri di Stadium Sultan Nassiruddin, dan beliau berhajat mahu mengecewakan Sarawak FA di Kuching kelak sungguhpun statistik mencatatkan bahawa Terengganu FA sukar menjaringkan gol di Stadium Negeri.
Biarpun demikian, perbezaan perlawanan tempoh hari dengan yang akan datang sudah mula dicongak oleh Irfan apabila beliau dikatakan akan mempunyai khidmat ayam tambatannya Issey Nakajima, yang telah selesai menjalankan penggantungan. Issey tidak diturunkan ketika menentang Sarawak tempoh hari, sekaligus memberikan sedikit kelebihan kepada pasukan Pantai Timur itu.
Dalam pada itu, David perlu merencanakan sesuatu yang istimewa bagi memastikan Terengganu FA pasti pulang hampa pada 21 April kelak kerana ribuan peminat Bujang Senang kini bukan sahaja sudah mula menyimpan duit untuk membeli tiket dan koci untuk perlawanan yang dijadualkan pada 8:15PM itu kelak, tetapi ada yang sudah mula melayari laman web syarikat penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.
Apapun, peluang untuk menjuarai Piala FA kini sudah terselak bagi pasukan Sarawak FA, dan kemenangan keatas Terengganu FA pada Suku Akhir kedua kelak akan menjadi petanda paling baik bahawa tiket ke Kuala Lumpur mesti dibeli awal.