KUCHING: Pertembungan dua gergasi bola sepak tanah air dalam saingan Liga Perdana 2013 iaitu Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 10 Mei (Jumaat) ini merupakan aksi ‘penentu’ kedua-dua pasukan.
Sarawak kini menduduki di tangga kedua liga, belakang Sime Darby FC (pendahulu) dengan memunggut 37 mata sambil Sime Darby gah dengan kelebihan dua mata (37).
Bagaimanapun, peluang Sarawak untuk memintas skuad warga kota (Kuala Lumpur) itu amat cerah jika mereka mampu memenangi kelebihan satu perlawanan.
Di atas kertas, peluang skuad Ngap Sayot untuk menjulang mahkota juara Liga Perdana musim ini tampak bersinar jika pertembungan kedua-dua gergasi itu berpihak kepada Sarawak.
Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts menaruh keyakinan tinggi akan kemampuan anak-anak buahnya untuk melakukan sesuatu yang terbaik pada pertemuan dengan Sime Darby FC di halaman sendiri nanti.
“Kita memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, tambahan sokongan padu penyokong dan peminat setia kita pasti akan menyemarakkan semangat juang tinggi semua pemain,” katanya bersemangat.
Alberts optimis semua pemain sudah pasti akan mencurahkan segala kudrat untuk memberikan tentangan sengit kepada musuhnya, Sime Darby FC sekali gus memburu gelaran juara Liga Perdana musim ini.
Jurulatih import berpengalaman dari Belanda itu percaya gandingan mantap jentera serangan yang dikemudikan oleh Bobby Gonzales dan penyerang import baharu, Muamer Salibasic sambil dibantu pemain penuh berpengalaman, Junior Eldstal.
“Saya yakin gandingan Bobby-Muamer akan terus mantap pada perlawanan seterusnya setelah kedua-duanya menunjukkan kehebatan dalam pertemuan dengan KL SPA di sini pada Jumaat lalu,” jelasnya.
Malah, Alberts juga optimis kemantapan jentera bahagian tengah yang ditunjangi pemain prolifik, Joseph Kalang Tie dan Guy Bwele di samping pemain-pemain lain.
Alberts juga memuji kekebalan benteng pertahanannya yang menunjukkan aksi hebat dalam perlawanan-perlawanan yang telah mereka harungi.
“ Saya berbangga dengan persembahan hebat pemain-pemain kita ketika mereka berjaya membenam pasukan KL SPA meskipun kita dikejutkan dengan gol pendahuluan mereka.
“ Saya percaya semua pemain mampu bertindak lebih cemerlang pada perlawanan-perlawanan seterusnya, lebih-lebih lagi pertemuan dengan Sime Darby FC nanti,” katanya.
Sarawak sepatutnya meneruskan perjuangan mereka menentang pasukan kelab, KL Pos Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selangor pada 6 Mei (hari ini) namun ditunda atas sebab Pi lihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semalam.
Bagaimanapun, skuad Ngap Sayot akan meneruskan perjuangan mereka menanti kunjungan pendahulu liga, Sime Darby FC di kandang sendiri (Stadium Negeri Kuching) pada Jumaat ini (10 Mei).
Selepas itu, Sarawak akan berkunjung ke Stadium Hang Jebat, Melaka untuk menjadi tetamu sebuah lagi pasukan hebat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anak-anak buah Alberts kembali beraksi di gelanggang sendiri (Stadium Negeri) pada 17 Mei depan dengan menanti kunjungan sebuah lagi pasukan kelab, NS Betaria.
“Saya berharap pemain-pemain kita dapat mengekalkan momentum mereka dengan berprestasi hebat untuk merealisasikan impian memburu tempat teratas pada Liga Perdana musim ini,” kata Alberts.
Sumber: Utusan Borneo