Skuad kebangsaan kendalian jurulatih sementara negara, Datuk Ong Kim Swee berjaya mengatasi Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Bangkok, Thailand.
Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, skuad negara tampil garang pada babak kedua apabila meraih gol pendahuluan pada minit ke-55 menerusi Christie Jayaseelan dan selang tiga minit, Azamuddin akil menambah kelebihan skuad negara mendahului 2-0.
Namun, pasukan Laos berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-80 hasil sepakan penalti Sitthideth Khantavong.
Menuju lewat permainan skuad negara dihadiahkan sepakan penalti, namun Safee Sali gagal menemui penyudah sebelum Christie menebus kehampaan itu dengan gol kedua peribadinya pada waktu kecederaan untuk kemenangan 3-1 berpihak kepada negara.
Seterusnya skuad negara bakal berdepan Timur Leste dalam aksi timbal balik Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Perbandaran Dili pada 13 Oktober nanti. Saksikan secara langsung aksi perlawanan ini di saluran 801, Astro Arena.
Dengan jurang beza jaringan yang terlalu besar dengan hanya 1 mata dimiliki, Malaysia sudah terkeluar dari saingan Piala Dunia 2018.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersaing untuk merebut gelaran selaku juara kumpulan A.
Sumber: Astro Arena