Sarawak bakal mendapat satu lagi siaran langsung perlawanan mereka apabila perkhabaran berita menyatakan bahawa perlawanan terakhir Kumpulan D diantara Sarawak menentang Perak bakal ditayangkan secara lansung pada hari Sabtu ini.
Menurut beberapa sumber dari RTM, siaran langsung perlawanan dari Stadium Negeri tersebut bakal dimulakan pada jam 8:45PM.
Sumber turut menyatakan bahawa perlawanan tersebut sememangnya dijadualkan pada jam 8:45PM, dan tidak diubah seperti diwar-warkan di media sosial.
Siaran langsung tersebut dijangka tidak akan menggangu jualan tiket di Stadium Negeri kerana skuad Bujang Senang mempunyai jumlah peminat yang ramai setiap kali perlawanan diadakan di Kuching.
Sungguhpun demikian, wujud sedikit kebimbangan di kalangan penyokong Sarawak yang telah mula sedar akan badi siaran langsung terhadap skuad Bujang Senang, yang seolah-oleh sukar memenangi perlawanan yang disiarkan secara langsung.
Ini adalah perlawanan ketiga bagi Sarawak FA yang ditayangkan secara langsung bagi kempen Piala Malaysia dengan pihak ASTRO Arena menayangkan perlawanan Kedah melawan Sarawak, dan juga Lions XII melawan Sarawak secara langsung baru-baru ini.