Perlawanan pertama Kuching City kekal di Stadium Negeri

Perlawanan pertama pasukan Kuching City FC di gelanggang sendiri pada 28 Ogos ini adalah di Stadium Negeri, Kuching.

Menurut jadual yang dikeluarkan Malaysia Football League (MFL), hanya perlawanan tersebut telah diketahui venuenya, dengan perlawanan – perlawanan gelanggang sendiri untuk Kuching City masih berstatus ‘Akan dimaklumkan kelak’ atau ‘TBC’.

Jadual Liga Premier terbaharu

Adalah difahamkan bahawa perlawanan itu mendapat ‘restu’ daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) untuk diteruskan seperti dijadualkan.

Dalam perkembangan sama, pihak kami juga difahamkan bahawa Kuching City masih lagi berbincang dengan pemilik beberapa stadium untuk membolehkan pasukan tersebut berkampung di Semenanjung Malaysia, namun tiada keputusan yang telah dimuktamadkan.

Maklumat kami ini diperolehi selepas timbul khabar angin bahawa Kuching City akan menggunakan Stadium Pasir Gudang sebagai venue gelanggang sendiri untuk baki perlawanan Liga Premier.

Selain Kuching City, status venue gelanggang sendiri Sarawak United juga masih menjadi tanda tanya dengan semua perlawanan pasukan tersebut juga dilabel sebagai TBC oleh pihak MFL.

Kedua – dua pasukan dalam pada itu dilihat mungkin perlu mencari venue alternatif di Semenanjung Malaysia untuk memainkan baki perlawanan Liga Malaysia mereka jika situasi Covid-19 di Sarawak kekal seperti sedia ada.

Ini adalah disebabkan pihak SDMC kini mengenakan peraturan kawalan pergerakan yang berlainan dengan Semenanjung Malaysia, yang mana akan secara langsung mengehadkan pergerakan keluar masuk dari Sarawak.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top