Liga Super: Sarawak FA keluar dari zon bahaya

Pasukan Bujang Senang berjaya keluar dari zon bahaya malam tadi selepas mengikat pasukan Perak FA di Stadium Perak. 

Perlawanan yang dimainkan di dalam hujan lebat menyaksikan persefahaman di antara dua penyerang import Sarawak, Sahil Suhaimi dan Mateo Roskam mencuri tumpuan dengan beberapa gerakan pantas dan berpotensi yang ditonjolkan kedua-dua penyerang.

Sahil yang baharu sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan Bujang Senang tampak selesa di dalam perlawanan yang dimainkan di atas padang becak, dimana beliau dan Roskam kelihatan amat serasi dan memahami gerakan masing-masing.

Milos Raickovic yang juga pertama kali diturunkan banyak memastikan bahagian tengah Sarawak FA lebih teratur dengan beberapa gerakan menarik yang membuka ruang untuk pasukan Sarawak FA memulakan serangan. 
Sungguhpun demikian, keadaan padang yang licin dan ditakungi air menyukarkan kedua-dua pasukan bermain bolasepak dengan sempurna, dengan penjaga gol Sarawak Shahril Saari bertindak cemerlang menyelamatkan gawang Sarawak daripada beberapa serangan berbahaya. 

Dengan keputusan seri tersebut, Sarawak FA naik ke tangga ke-10 Liga Super, mengatasi Melaka United yang kini jatuh ke tangga ke-11.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top