Wakil penyokong Kelantan yang akan ke Stadium Negeri pada Sabtu ini menyatakan kepada SarawakCrocs.com bahawa mereka agak terkilan permintaan mereka untuk membawa rebana ke perlawanan Sarawak menentang Kelantan Sabtu ini tidak akan kesampaian.
Menurut wakil penyokong tersebut yang enggan namanya disiarkan, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dalam satu surat ke Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyatakan bahawa permintaan membawa peralatan bunyian (rebana) terpaksa ditolak atas sebab-sebab keselamatan.
Surat daripada FAS juga menjelaskan keputusan tersebut diambil kira selepas pihak FAS dinasihatkan oleh pihak Polis dan pihak Jawatankuasa Keselamatan FAS.
Kehadiran penyokong Kelantan semasa pertembungan diantara Sarawak dan Kelantan adalah sangat biasa dengan penyokong Kelantan biasanya hadir di dalam bilangan yang ramai.
Perlawanan menentang Kelantan adalah perlawanan tunggal pada bulan Mei selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menukar jadual perlawanan Liga Malaysia.