JDT FC, yang melancarkan jersi baharunya kelmarin, menyaksikan jualan jersi baharunya ‘lengis’ dalam kurang empat jam setelah ianya dijual di Shopee hari ini.
Hasil jualan disebut mencecah RM1.6 juta, dan ini menggambarkan kekuatan jenama kelab tersebut.
Biarpun berharga RM185, peminat tidak melepaskan kesempatan membeli jersi jenama Nike itu dengan jualan terbanyak terhasil dari Lembah Klang.
Malahan, daripada 8,500 jersi yang habis dijual, pemanat JDT dari Sarawak dan Sabah direkod tersenarai antara sepuluh lokasi jualan jersi tersebut berjaya dibuat.
Ini sekaligus memberi indikasi bahawa jenama JDT FC bukan sahaja tertumpu di Johor atau Semenanjung Malaysia, tetapi juga turut telah diminati di dua negeri Borneo Malaysia ini.
Edisi pemain dapat diskaun besar
Laman JDT FC telah menjelaskan bahawa jersi utama yang dijual hari ini merupakan replika kepada jersi pemain, namun jersi tandang (away), merupakan jersi versi pemain.
Dalam pada itu, pemilik kelab tersebut, YAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan menanggung sebahagian harga jersi tandang tersebut sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong JDT, sekaligus menyaksikan harga jersi versi pemain itu jatuh dari RM 439 kepada RM185.
Menurut kenyataan kelab tersebut, jersi tandang itu diberi diskaun khas dan dipilih sebagai hadiah istimewa kerana warna jersi itu melambangkan Stadium Sultan Ibrahim bersempena ulang tahun pertama stadium itu.
Stok akan ditambah dalam beberapa minggu
Oleh kerana permintaan terhadap jersi JDT terus meningkat, pihak JDT telah menjanjikan penambahan stok jersi – jersi tersebut di kedai rasminya dan juga di Shopee dalam beberapa minggu.
Jersi tersebut juga akan mula dijual esok (Jumaat) oleh rakan kongsi JDT, Nike, namun ianya juga dijangkakan akan turut habis terjual seperti hari ini.
Oleh itu, jika anda ingin membeli jersi JDT, anda perlulah bertindak cepat apabila jualan mula dibuka kelak.
Satu contoh kekuatan jenama
Kejayaan JDT menjual jersi bernilai RM1.6 juta dalam sehari bukan nasib, tetapi merupakan hasil kekuatan kerja penjenamaan yang sempurna oleh kelab tersebut.
Tidak dapat dinafikan, JDT adalah satu – satunya pasukan yang dilihat amat menekankan jenamanya di dalam dan luar negara, sehinggakan nama kelab tersebut kini sudah menjadi satu ‘trend’ kepada penduduk Malaysia.
Ini menyaksikan orang ramai mahu menggunakan jenama jersi tersebut biarpun mereka bukan dari Johor atau meminati bola sepak.
JDT juga yang telah bertindak bijak memilih satu logo sejak ianya diambil alih oleh YAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, dan menggunakan logo dan jenama itu sehingga ke hari ini bagi memastikan jenama itu cukup premium.
Fokus kepada penjenamaan yang mantap oleh kelab Johor ini semangnya tidak dapat dinafikan oleh sesiapa kerana JDT dan barangannya kini dianggap sesuatu yang premium, dan bukan setakat hanya sebuah kelab bola sepak di Malaysia.
Ini dibuktikan apabila peminat tidak kisah membayar RM185 untuk satu jersi biarpun ianya sebenarnya harga yang amat tinggi jika dibandingkan jersi pasukan lain di Malaysia.
Oleh itu, adalah diharap kelab – kelab lain akan turut mencontohi JDT kerana hakikatnya kejayaan sesebuah kelab bola sepak sememangnya diukur dari persembahannya di atas padang, tetapi kedudukan kewangannya diperkukuhkan dengan penjenamaan yang mantap di luar padang.