Penjadualan Liga Malaysia – Antara dosa besar, penyokong dan FMLLP

Liga Malaysia semakin menuju ke arah yang lebih profesional sejak diletakkan di bawah kendalian badan bebas FMLLP. Perjalanan liga dijangka akan lebih lancar kerana badan ini menumpukan sepenuh perhatian kepada dua liga utama negara.

Ketika perkara lain nampak tersusun dan profesional, sayangnya bahagian penjadualan liga dilihat masih tidak profesional dan ketinggalan zaman.

Inilah realiti yang harus diterima oleh peminat bola sepak tempatan.

Melihat kepada jadual tahun ini, terlalu banyak kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan pihak FMLLP.

Perlawanan akhir Piala FA dilangsungkan serentak dengan suku akhir Piala Dunia adalah antara dosa besar yang perlu ditanggung walaupun FMLLP sedar dengan jadual Piala Dunia yang telah dikeluarkan lebih awal.

Selain itu, penjadualan lima perlawanan ketika Ramadan, perubahan jadual yang terlalu kerap dan tidak masuk akal menyebabkan Liga Malaysia yang meriah tiba-tiba hambar tahun ini.

Stadium kelihatan kosong walaupun melibatkan pasukan besar yang bertanding.

Jadual Piala Malaysia yang bertembung dengan Sukan Asia dan Piala AFF juga tidak seharusnya terjadi. Ini kerana kedua-dua kejohanan ini telah diketahui lebih awal. Persoalannya adalah siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini?

Ianya tidak berhenti di situ sahaja, perlawanan terakhir Liga Super sepatutnya diadakan serentak, namun FMLLP telah memecahkannya kepada dua hari. Ini mengakibatkan kehilangan elemen saspen yang ditunggu-tunggu oleh peminat.

Namun apakan daya, itu sahaja yang kita sebagai penyokong mampu lakukan.

Mana mungkin tiada bijak pandainya di dalam FMLLP yang mampu menyediakan jadual yang lebih sesuai mengikut kalendar FIFA dan AFC. Sampai bila penyokong perlu menunggu sehingga 3 hari sebelum perlawanan untuk mendapatkan jadual yang sebenar.

Oleh itu harapan penyokong untuk 2019, FMLLP perlu belajar untuk membuat jadual yang lebih tetap. Perubahan jadual untuk satu atau dua perlawanan kerana masalah teknikal boleh di terima, namun bukan jadual yoyo dan membuatkan liga kita kelihatan seperti liga sarkis.

Ingatlah bahawa penyokong adalah pemegang saham terbesar dalam bola sepak dan tanpa penyokong liga akan menjadi suram dan ini secara tidak langsung akan mengakibatkan penaja akan mula memikirkan sama ada pelaburan mereka berbaloi atau tidak. Untuk FMLLP fikir fikirkan lah. – SARAWAKCROCS.COM/JJF

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top