Penentuan perlawanan Kuching FA vs Sarawak FA 30 Oktober ini

Dengan keajaiban diperlukan oleh Kuching FA untuk memintas Kelantan United di Liga M3, tumpuan peminat bola sepak Sarawak, dan mungkin Malaysia kini terarah ke perlawanan play-off yang bakal berlaku di antara ‘adik’ dan ‘abang’ di dalam Liga Malaysia.

Perlawanan yang dimaksudkan adalah perlawanan ‘play-off Liga Premier’ yang mana berkemungkinan akan menyajikan aksi antara Sarawak FA yang mengakhiri musim 2019 di tangga tercorot Liga Premier, dan Kuching FA, yang berkemungkinan akan menghabiskan musim Liga M3 di kedudukan kedua.

Kedua-dua pasukan ini kini ibarat adik-beradik, dengan kedua-dua pasukan berkongsi venue perlawanan yang sama, peminat yang sama dan juga pemberi dana yang hampir sama.

Malahan, Kuching kini diungguli oleh 50% bekas pemain Sarawak FA, dengan rata-rata pemain pertahanannya adalah bekas pemain Sarawak FA 2013, yang menjadi juara Liga Premier pada ketika itu.

PENINGKATAN KUCHING FA

Orang penting disebalik kejayaan Kuching adalah Fazruddin Abdul Rahman, kini Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching.

Beliau telah dengan jayanya mengangkat Kuching FA dari menjadi juara Liga Bolasepak Rakyat pada 2016, dan kemudiannya menjadi salah satu kuasa utama di dalam Liga FAM dan kini Liga M3.

Kuching yang ditubuhkan secara rasminya pada 2015 sebagai sebuah pasukan amateur dilihat semakin meningkat dari segi prestasi dengan musim 2019 menjadi titik tertinggi buat pasukan kerdil ini.

Malahan, peningkatan Kuching turut dirasai ketika perlawanan Liga M3 mereka yang mana menyaksikan bilangan penonton semakin meningkat.

KEMALAPAN SARAWAK FA

Sarawak pula telah berwajah baharu selepas Posa Majais dilantik menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) pada tahun 2017.

Pada tahun sama, Sarawak mengakhiri Liga Super di tangga ke-11, dan diturunkan ke Liga Premier secara automatik.

Pada tahun 2018, Sarawak mengakhiri musim tersebut di tangga ke-8 Liga Premier, tersingkir awal di Piala FA dan Challenge Cup, dan gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia.

Musim 2019 menyaksikan Sarawak terus murung apabila menduduki tangga terakhir Liga Premier, tersingkir awal di Piala FA, dan menduduki tangga tercorot di dalam Kumpulan A Challenge Cup.

PERBANDINGAN TIDAK TEPAT

Keadaan in menyaksikan Sarawak kini akan berdepan Kuching FA yang  dilihat mempunyai prestasi lebih baik dengan bakal berkemungkinan menamatkan musim sebagai naib johan Liga M3.

Walaubagaimanapun, hakikatnya adalah Liga M3 adalah liga amateur, dan ianya adalah tidak setara membandingkan kedua-dua pasukan berdasarkan prestasi di dalam liga masing-masing.

Dalam pada itu, perlawanan Kuching FA dan Sarawak FA kelak sememangnya akan menjadi penanda aras kepada pasukan mana yang lebih hebat dengan kedua-dua pasukan berentap untuk mengisi satu slot di Liga Premier.

Jika Kuching menang, ianya semestinya satu tamparan hebat kepada Sarawak dan pengurusan FAS.  Jika sebaliknya berlaku, Kuching akan terpaksa mencuba lagi untuk promosi pada tahun 2020.

FAS MEMEGANG KUNCI

Pasukan manapun yang lebih hebat, ianya juga bergantung kepada FAS kerana FAS masih perlu menghantar dokumen yang diminta oleh FAM sebelum 30 Oktober ini untuk mendapat lesen kelab bola sepak.

Jika FAS gagal menghantar dokumen yang diminta, perlawanan Kuching menentang Sarawak tidak akan berlaku kerana Sarawak secara automatik akan bermain di Liga M3, sekaligus memberikan Kuching slot automatik ke Liga Premier.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top