Peminat teruja pelancaran Sarawak United FC malam ini

Beberapa peminat bola sepak Sarawak teruja dengan majlis pelancaran jersi Sarawak United FC dan sesi memperkenalkan pemain pasukan tersebut malam ini.

Seorang peminat bernama Matt, 39, yang menghubungi kami memaklumkan bahawa beliau tidak kisah berkenaan sejarah pasukan bola sepak Sarawak, dan hanya mahu yang terbaik dari pasukan Sarawak United.

Menurut Matt, Sarawak United adalah lambang kebangkitan bola sepak Sarawak dan dengan pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membawa masuk pemain yang terkenal dan berprestasi tinggi, beliau percaya musim 2020 akan menyaksikan Sarawak United mampu ke Liga Super musim hadapan.

Seorang lagi peminat yang bernama Zulaikha, 23, berkata bahawa beliau cukup setia dengan pasukan Sarawak United biarpun pasukan itu rata-rata dibintangi pemain bukan dari Sarawak.

Zulaikha menyebut bahawa dalam dunia moden, tidak semestinya sesebuah pasukan mengambil pemain anak jati kerana yang penting adalah kemampuan pasukan tersebut di atas padang.

Beliau juga menegaskan bahawa Sarawak United membawa nama Sarawak, dan itulah yang perlu didahulukan dan dipentingkan.

Di pihak hawa pula, seorang peminat bernama Siti, 26, cukup tidak sabar untuk melihat gaya jersi Sarawak United.

Beliau yang mengakui sering membeli jersi Sarawak berkata bahawa jenama JOMA adalah jenama antarabangsa dan ini sudah pasti akan memberi jersi Sarawak United satu kelainan. Beliau dalam pada itu berharap bahawa jersi Sarawak United akan dijual dengan harga ‘mampu milik’ agar beliau boleh membeli sepasang.

Sarawak United akan melancarkan jersi dan memperkenalkan pemain bagi musim 2020 malam ini di Asajaya, dengan majlis turut diserikan oleh beberapa penyanyi terkenal.

Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Datuk Abdul Karim Hamzah yang merupakan Menteri Sukan, Pelancongan dan Kebudayaan Sarawak.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top