Pembubaran pasukan Sarawak FA 2018 bukan seperti diharapkan

Umum sudah tahu, pasukan Sarawak FA bagi musim 2018 akan dibubarkan.

Menurut Posa Majais di dalam kenyataan medianya pada minggu ini tadi “Skuad bolasepak Sarawak merangkumi pemain, kejurulatihan dan pengurusan pada musim ini akan dibubarkan sepenuhnya bagi memperbaiki pasukan yang lebih mantap pada musim hadapan.”

Ini bermaksud, pasukan semua pemain, pegawai dan jurulatih Sarawak FA 2018 akan samada hilang punca pendapatan, diberi tugasan lain (jika masih mempunyai kontrak) atau mencari pasukan baharu untuk musim hadapan.

Syukurlah pengumuman dibuat sebelum akhir musim Liga Malaysia kerana ianya memberi kesempatan kepada semua yang terlibat mencari hala tuju mereka sendiri lebih awal.

Sampai ke saat kami menulis artikel ini, kami tidak tahu samada pemain dan pegawai terlibat telah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum pengumuman tersebut dibuat, namun jika FAS adalah satu badan profesional, ianya seharusnya pasti telah berbuat demikian. Jika kontrak pemain atau pegawai akan tamat, maka pemain atau pegawai seharusnya telahpun bersedia sebelum ini.

Apa pun, sebagai majikan, pemberhentian seseorang haruslah dimaklumkan oleh majikan dahulu secara peribadi sebelum ianya dibuat secara terbuka. Ini pada hemah kami adalah ‘professionalism’. Adalah diharap Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bersikap sedemikian.

Tapi kami tidak mahu bercakap tentang itu. Kami mahu lebih kepada musim hadapan. Berkenaan kempen #BubarSarawakFA yang kami canangkan sebelum ini.

BERKENAAN HASRAT #BUBARSARAWAKFA

Jika anda membaca hasil nukilan kami, kami amat konsisten dengan menyebut badan pengurusan FAS sebagai hanya ‘FAS’ dan pasukan bolasepak Sarawak sebagai ‘Sarawak FA’.

Jadi bila kami sebut ‘bubar Sarawak FA’, ianya bermaksud membubarkan pasukan tersebut, seperti yang telah Posa lakukan minggu ini tadi.

Hasrat #BubarSarawakFA adalah bagi memperkuatkan lagi bolasepak di peringkat akar umbi Sarawak, sekaligus membolehkan FAS selaku badan induk bolasepak fokus kepada membangunkan semua kawasan di Sarawak.

Panggilan membubarkan Sarawak FA kami buat kerana Sarawak FA telah jatuh ke situasi yang sangat sukar musim ini dan dengan alasan kewangan yang sering diberikan, ditambah lagi isu perlesenan kelab, kami lihat ianya adalah detik yang sangat sesuai untuk membubarkan Sarawak FA dan memberi lebih fokus kepada kelab profisional di segenap Sarawak.

 

Hasrat kami mudah, kalau pasukan dibubarkan awal, pihak pemain dapat dimaklumkan awal. Pihak pengurusan Liga Malaysia dapat dimaklumkan awal.

Kesannya adalah pihak FAS selaku pengendali pasukan Sarawak FA dapat mengurangkan beban dikenakan tindakan oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) , Malaysia Football League (MFL) dan mengatur strategi untuk menyelesaikan masalah berkaitan kontrak dengan cara yang paling baik.

Di pihak pemain, mereka boleh bersedia untuk mencari pasukan lain atau merangka strategi untuk memastikan nafkah mereka terus terjamin. Tidak timbul isu ‘pengguguran tidak mengikut prosedur’.

Tidak pernah kami meminta FAS dibubarkan kerana ianya diperlukan. Tanpa FAS, pembangunan bolasepak di Sarawak tidak dapat dibuat dan tiada pasukan dapat bertanding di pertandingan peringkat national. Malah, tanpa FAS, Sarawak akan kehilangan hala tuju di dalam bolasepak. Jadi kami mahu FAS terus kekal.

Kami juga tidak ada meminta mana-mana exco, mahupun jawatankuasa FAS berhenti walaupun ada pembaca kami yang meminta kami berbuat demikian. Bagi kami, FAS adalah satu persatuan dan permintaan menukar ahlinya seharusnya dibuat melalui pemilihan mesyuarat dan bukan sewenang-wenangnya.

APA BEZA PEMBUBARAN SARAWAK FA 2018 DENGAN MATLAMAT PERMINTAAN #BUBARSARAWAKFA KAMI?

Sebenarnya pada kepetahan bahasa kami yang kurang baik, perkataan ‘bubar’ yang digunakan Posa adalah kurang sesuai.

Perkataan ‘dirombak’ sebenarnya lebih sesuai kerana pasukan akan ditukar tapi masih ada pada musim hadapan.

Inilah perbezaaan antara panggilan kami untuk #BubarSarawakFA dengan tindakan Posa ‘membubarkan’ pasukan Sarawak FA 2018. Kami tidak mahu rombakan pasukan. Kami mahukan pembubaran pasukan.

Sungguhpun demikian, awal kami mahu nyatakan, kami tidak tahu samada pembubaran seperti yang kami panggil boleh dibuat kerana pernah ada pihak memaklumkan kepada kami bahawa setiap negeri mesti menghantar satu pasukan bolasepak ke Liga Malaysia. Mungkin ada pihak yang boleh menjelaskan beserta bukti-bukti sahih.

Jika benar pasukan negeri tidak boleh dibubarkan, kenyataan ini pelik kerana jika pasukan itu tidak mempunyai dana, adakah mereka mampu? Adakah mempunyai wakil lebih penting dari mempunyai keberadaan untuk terus menyokong pasukan dari segi kewangan?

Tapi jika kenyataan tersebut tidak benar, maksudnya satu-satu negeri boleh memilih untuk tidak menghantar pasukan bermain di Liga Malaysia, dan ini yang kami harapkan berlaku melalui #BubarSarawakFA.

Lagipun, kita ada pasukan Kuching FA di dalam Liga FAM yang boleh menjadi wakil kepada Sarawak sementara pengurusan bolasepak Sarawak ditambah baik.

Dengan pembubaran pasukan Sarawak FA, kami mengharapkan dana berjuta yang sebelum ini digunapakai untuk menguruskan pasukan Sarawak FA digunakan untuk melengkapkan Liga perigkat komuniti dan setempat di setiap bahagian.

Bayangkan jika RM14juta (khabarnya kos untuk semusim bagi Sarawak FA) diagihkan untuk pembangunan bolasepak setiap bahagian? Bayangkan jika semua liga di Miri, Sibu, Kapit dan sebagainya, dijalankan selama beberapa bulan dengan pengurusan teratur sekaligus menjadi Liga setaraf Liga FAM?

Kehadiran liga amatur bagi pasukan bolasepak akan membantu memperkembangkan bolasepak di peringkat bahagian dan daerah.

Bolasepak akar umbi boleh diperkembangkan dan program berkaitan penswastaan pasukan bolasepak seperti di Eropah boleh diperkembangkan ke Sarawak oleh FAS, sekaligus menyaksikan Sarawak memiliki ratusan atau ribuan pemain profesional pada suatu hari nanti.  Bukan itu sahaja, kelab bolasepak profesional di Sarawak akan berkembang.

FAS dalam pada itu hanya bertindak sebagai pemantau dan bukan lagi pemilik pasukan bolasepak.  FAS akan menjalankan amanah seperti FAM, yakni menyelia, menilai dan memastikan semua liga bahagian berjalan secara teratur kompetitif dan secara baik, sambil pada masa sama memperkenalkan program pembangunan berkaitan dengan pengadil, kejurulatihan dan menguruskan pasukan Sarawak yang mewakili negeri di peringkat SUKMA, sekolah dan saingan-saingan yang melibatkan hanya pasukan negeri sahaja.

Sesungguhnya hasrat dan idea kami ini adalah secara ideal dan akan memakan masa, namun sekurang-kurangnya kami amat jelas berkenaan hasrat hala tuju bolasepak Sarawak.

Oleh itu, apabila Posa mengumumkan pasukan akan dibubarkan dengan pemain dan pegawai baharu diambil pada musim hadapan, kami agak kecewa kerana bukan itu yang kami mahu.

Sememangnya sebagai pemerhati bolasepak Sarawak, kemahuan kami tidak penting kerana kami hanya suara kecil yang tidak mampu mengubah apa-apa sungguhpun dilabel sebagi kami sebagai “perosak kepada segala usaha ke arah pembangunan bolasepak negeri Sarawak”.

Label tersebut sememangnya amat besar bagi laman kecil kami yang amat jarang dikunjungi sehingga disebut di dalam kenyataan akhbar FAS tempoh hari.

Untuk makluman, Presiden FAS juga menyatakan bahawa dia sudah memuktamadkan keputusan merombak pasukan.

MELIHAT KE HADAPAN

Jadi apa akan berlaku pada musim hadapan?

Sebenarnya, sukar untuk kami membayangkan masa hadapan. Sebagai orang Sarawak, sememangnya harapan kami adalah bolasepak Sarawak akan berkembang.

Tetapi, kami amat berharap akan hadir pasukan dari Miri, Bintulu, Sarikei, Sibu dan sebagainya bermain di Liga Malaysia pada masa hadapan.

Jangan lihat cara JDT menguruskan pasukan kerana mereka adalah pasukan yang mempunyai ‘deep pockets’ (wang yang banyak).

Memiliki sumber kewangan yang tanpa batasan membolehkan banyak benda mampu dibuat di dalam masa singkat, termasuk melantik orang terbaik untuk menguruskan kelab.

 

Sebaliknya, lihat ke Selangor. Kemantapan liga komuniti mereka seperti Klang Valley League, Selangor Chmpions League dan sebagainya menyaksikan banyak pasukan amatur yang bagus hadir seperti Shah Alam Antlers FC, Gombak FC, Cheras Raptors FC dan banyak lagi terbentuk.

Selangor Champions League. Antara liga komuniti paling professional di Malaysia.

Inilah sebenarnya harapan kami walaupun kami telah dilabel sebagai “perosak kepada segala usaha ke arah pembangunan bolasepak negeri Sarawak”.

Akhir kata, SarawakCrocs – Keeping Sarawak football in your discussion.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top