PDRM FA hilang tiga mata kerana masalah pembayaran gaji

Kelab bolasepak PDRM FA telah dipotong tiga mata sebelum Liga Malaysia bermula.

Ini adalah selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapati bahawa kelab tersebut gagal melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Pemotongan mata itu akan menyaksikan PDRM FA memulakan kempen Liga Super mereka dengan -3 mata pada 28 Februari kelak.

Dua lagi pasukan yakni Melaka United dan Kelantan FA pula tidak dikenakan apa-apa tindakan ekoran berjaya melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Sebelum ini FAM telah memberi amaran kepada tiga pasukan tersebut berhubung masalah tunggakan gaji yang mereka hadapi.

Dalam amaran tersebut, FAM memberikan ketiga-tiga pasukan dua minggu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah tunggakan gaji tersebut.

FAM juga memberi amaran bahawa kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan mana-mana pasukan tersebut akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta.

Tempoh masa yang diberikan oleh FAM kepada tiga pasukan berkenaan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing telah pun berakhir pada Jumaat, 31 Januari 2020.

Hari ini ingin mengumumkan bahawa Melaka dan Kelantan telah pun berjaya melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit, sekali gus terlepas hukuman pemotongan mata berkenaan.

Bagaimanapun, PDRM gagal untuk melakukan perkara yang sama, sekali gus FAM dengan ini terpaksa mengumumkan penolakan tiga mata terhadap PDRM apabila bermulanya saingan Liga Super 2020.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top