Umum sudah tahu bahawa pasa musim hadapan, yakni di dalam Liga Malaysia 2020, akan ada perubahan besar di dalam penyertaan pasukan bola sepak Sarawak di Liga Malaysia.

Sarawak pada musim hadapan bukan diwakili hanya satu pasukan, tetapi tiga pasukan berlainan dan peminat bola sepak di Sarawak, khususnya di bahagian Kuching, mempunyai pilihan untuk menyokong mana-mana di antara pasukan ini.

// IKUTI KAMI DI INSTAGRAM WWW.INSTAGRAM.COM/SARAWAKCROCS UNTUK BERITA BOLA SEPAK MALAYSIA DAN SARAWAK RINGKAS

SarawakCrocs Tribal Jersey 2020

>>Dapatkan jersi rasmi Sarawak United 2020 dan SarawakCrocs Tribal jersey kini di TheKedey.com.

Di sini, kami berikan sedikit maklumat berkenaan ketiga-tiga pasukan tersebut.

SARAWAK FA

Sarawak FA merupakan pasukan original/asal yang mewakili bola sepak Sarawak di dalam Liga Malaysia.  Diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Sarawak FA mempunyai sejarah kejayaan dan tradisi sendiri sejak ianya ditubuhkan.  Pada tahun 2019, pasukan ini dikenali dengan maskot buaya, dan warna merah sebagai warna utama. Pada musim 2020, Sarawak FA telah diturunkan ke Liga M3, yakni liga bola sepak amatur tertinggi di Malaysia selepas tersingkir dari Liga Profesional. Dengan penyingkiran bersejarah ini, status Sarawak FA dan siapa akan bermain dengan pasukan Sarawak FA menjadi tanda tanya memandangkan perubahan dari sebuah pasukan profesional kepada pasukan amatur adalah besar, khususnya dari segi status pemain.  Sehingga kini, status pasukan ini masih kabur dan yang hanya sah adalah hakikat pasukan ini akan bermain di Liga M3.

KUCHING FA

Kuching FA merupakan antara pasukan Liga Malaysia yang paling cepat naik dan menonjol.  Dalam masa empat tahun, Kuching FA telah berjaya menjadi juara liga amatur, Liga Bola Sepak Rakyat, dan seterusnya menjadi naib juara Liga M3, liga bola sepak amatur ketuga tertinggi di Malaysia.  Dengan berjaya menewaskan Sarawak FA pada 23 November lalu menerusi perlawanan play-off Liga Premier, Kuching FA kini bakal bermain di Liga Premier yang merupakan liga bola sepak profesional kedua tertinggi di Malaysia. Pasukan yang diwakili kebanyakan pemain bintang pasukan Sarawak FA ini dilihat mampu menyerlah di dalam penyertaan sulung mereka di Liga Premier, dan dilihat mempunyai pengurusan yang ‘minat bola’ dan ‘bebas masalah’.

SARAWAK UNITED

Apabila Sarawak FA gugur ke Liga M3, khabar telah bertiup bahawa FAS telah mengambil alih sebuah pasukan bola sepak di semenanjung Malaysia bagi mengekalkan penguasaan mereka terhadap sebuah pasukan bola sepak di Liga Premier.  Berita ini disahkan oleh Presiden FAS, Posa Majais yang menyatakan bahawa sememangnya sebuah pasukan dari Selangor yang bernama Selangor United, akan diambil alih oleh FAS.  Pasukan ini akan kemudiannya dijenama semula sebagai Sarawak United dan membawa nama Sarawak melalui FAS. Sarawak United dilihat sebagai sebuah pasukan bersih, khususnya dari segi pengurusan, dan FAS dilihat akan memberikan banyak keutamaan kepada pasukan ini kerana mahu pasukan ini naik ke Liga Super pada musim 2021.  Menurut kenyataan MFL juga, Sarawak United akan dipindahkan dari ibupejabatnya di Selangor, dan akan beroperasi di Kuching.  Buat masa ini, hanya Ashri Chuchu dikhabarkan bakal bermain untuk Sarawak United, manakala butir-butir lain berkenaan kelab ini masih samar.

Dalam pada itu, bagi anda, pasukan manakah akan anda sokong?