Stadium Sarawak yang diubah suai dengan kos berjuta ringgit sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) baru – baru ini telah menyaksikan padang utama stadium tersebut ditanam rumput baharu.
Sungguhpun demikian, keadaan padang utama Stadium Sarawak telah dilaporkan menjadi amat teruk selepas temaysa dwi tahunan itu berakhir dengan kebanyakan rumput kelihatan seolah-olah telah mati.
Maklumat berkenaan keadaan padang ini telah diwar-warkan kepada pihak SarawakCrocs oleh seorang peminat yang berkesempatan ke Stadium Sarawak minggu ini. Beliau walaubagaimanapun tidak dapat mengambil gambar padang tersebut kerana tidak mempunyai kamera berlensa tinggi, dan hanya melihat dari jarak jauh. Menurut peminat yang hanya ingin dikenali sebagai Awang, padang itu kelihatan kekuningan dari jauh.
Maklumat lanjut dari risikan SarawakCrocs mendapati bahawa ada di antara pihak yang diberi kontrak untuk kerja-kerja pembukaan dan penutup telah berjanji menjaga rumput serba baru itu, namun ianya tidak dikotakan.
Adalah difahamkan bahawa pihak pengurusan Stadium Sarawak sedang cuba ‘menyelamatkan’ keadaan padang tersebut.