Hasrat pasukan Liga Premier Kuching City untuk ke Liga Super pada musim hadapan hampir pasti sah terkubur selepas tewas kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Premier petang tadi.
Kuching City memerlukan kemenangan petang tadi untuk mencabar kedudukan Negeri Sembilan di dalam liga, sekaligus membuka ruang untuk mereka menyelinat masuk ke slot Liga Super 2022.
Sungguhpun demikian, kekalahan 2-1 petang tadi mengesahkan pasukan The Cats kini mempunyai misi yang teramat sukar untuk melayakkan diri ke Liga Super 2022 kerana mereka memerlukan Negeri Sembilan untuk tewas semua baki perlawanan yang ada, disamping perlu menjaringkan banyak gol bagi mengatasi perbezaan gol yang dimiliki kelab Semenanjung Malaysia itu.
Mata maksima yang boleh dipungut Kuching City kini adalah 35, menyamai jumlah mata Negeri Sembilan kini, dengan dua perlawanan dalam tangan.
Ini bermakna, Negeri Sembilan hanya perlu seri untuk memusnahkan harapan Kuching City ke Liga Super musim hadapan.
Dalam perlawanan tersebut, Negeri Sembilan membuka jaringan seawal minit ke-5 melalui Francis Kone, sebelum Micheal Ijezie menyamakan kedudukan bagi The Cats.
Arthur Cunha kemudiannya meledakkan gol kedua yang juga merupakan gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-70 bagi memastikan kelab bimbingan K. Devan itu pulang dengan mata penuh dari perlawanan penting di Pasir Gudang itu.