Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Posa Majais berkata bahawa nasib tidak menyebelahi pasukan Sarawak United musim ini.
Beliau yang ditemuramah Suara Sarawak berkata bahawa Sarawak United seharusnya memenangi beberapa perlawanan, namun gagal berbuat demikian.
“Nasib tidak menyebelahi kita apabila kalah dalam aksi yang sepatutnya dimenangi.” kata Posa kepada SUara Sarawak.
Posa juga menyebut bahawa tempoh pertandingan yang disingkatkan terus menyukarkan pasukan milik FAS itu untuk bangkit, sekaligus menyaksikan Sarawak United terus gagal menyerlah pada musim ini.
“Tempoh pertandingan yang disingkatkan menyebabkan kita tidak ada peluang untuk bangkit semula.” kata Posa lagi.
Sarawak United musim ini gagal menyerlah di dalam aksi sulung Liga Premier apabila menghuni tangga ke-11 dari 12 pasukan di liga tersebut.
Ini sekaligus menyaksikan pasukan yang dibimbing E Elavarasan itu gagal melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia biarpun dibintangi pemain – pemain ternama seperti S Chanturu, Ashri Chuchu, Patrick Ronaldinho, Gabriel Miguel Guerra, dan Amri Yahyah.