Saingan Liga Malaysia 2021 dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican bersama Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Majlis pelancaran yang diadakan dengan meriah sebagai simbolik buat 23 pasukan menggalas perjuangan memburu kejuaraan Liga Malaysia bermula 5 Mac 2021.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub, Christopher Raj dan Mustaza Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Ahli-Ahli Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan CEO-CEO Kelab Liga Malaysia.

Dato’ Sri Reezal Merican dalam ucapan pada majlis pelancaran itu percaya dengan persiapan rapi pasukan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MFL, saingan Liga Malaysia 2021 bakal menjanjikan sesuatu yang luar biasa.

“KKM dan MKN telah memberikan kebenaran khas untuk Liga Malaysia dimulakan dan pasukan-pasukan bola sepak dalam Liga MFL dapat memulakan latihan atas dua dasar pertimbangan iaitu kerajaan memahami keperluan dan kelangsungan hidup semua yang terlibat dalam ekosistem bola sepak.

“Dan kedua, atas kepercayaan mereka kepada disiplin komuniti sukan tanah air di mana keyakinan mereka kepada kita semua dalam industri bola sepak yang sangat berdisiplin dan pasti akan mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan.

“Saya mempunyai harapan tinggi, MFL dan seluruh pemegang taruh akan berusaha keras untuk memastikan penganjuran liga ini menjadi penanda aras kepada pematuhan SOP dan pelaksanaan gelembung sukan. Setiap seorang daripada kita mempunyai amanah dan peranan untuk memastikan Liga Malaysia selamat.

“Saya sentiasa yakin dengan ‘Track Record’ penganjuran yang baik, MFL memiliki kemampuan untuk menganjurkan liga yang kompetitif dan terbaik demi memenuhi kepuasan penyokong tempatan. Berasaskan kerancakan persiapan pasukan dan juga keghairahan penyokong dalam mengikuti perkembangan pasukan ketika ini, kita bakal menyaksikan persaingan Liga 2021 yang luar biasa.

Sementara itu, Dato’ Ab Ghani dalam ucapan pada majlis pelancaran itu berkata: “Sepanjang setahun kita berdepan wabak ini, saya telah mendengar rintihan khususnya penyokong bola sepak yang tidak dibenarkan ke stadium sebagaimana itulah pelaksanaan SOP Liga Malaysia pada musim 2020.

“Di sini sebahagian besar mereka mula menyedari betapa bernilai, sentimental dan semangat ukhwah dalam kelompok penyokong bola sepak terhadap Liga Malaysia. Secara kesimpulan, saya berpendapat masih ramai orang merindui bola sepak Malaysia. Inilah semangat yang kita mahukan.

“Jadi saya sangat yakin dan percaya bahawa Liga Malaysia musim 2021 bukan sahaja akan mendapat sokongan pelbagai pihak sebaliknya bakal menjadi penanda aras di mana Liga Malaysia juga memiliki kualiti dan potensi besar.

12 kelab yang bakal berentap merebut kejuaraan Liga Super musim ini adalah juara liga tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC (TFC), Perak FC, Selangor FC, Melaka United FC, Petaling Jaya City FC, Sabah FC, Sri Pahang FC, UiTM FC serta dua pendatang baharu, juara Liga Premier 2020 Penang FC dan Kuala Lumpur United FC.

Manakala 11 pasukan yang bakal mengharungi cabaran dalam saingan Liga Premier 2021 adalah JDT II, TFC II, Perak FC II, Selangor FC 2, Sarawak United FC, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC dan penampilan pertama Skuad Projek FAM-MSN.

Tumpuan penyokong bola sepak tanah air pastinya terarah kepada pertembungan dua pasukan gergasi, juara dan naib juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 5 Mac 2021 dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai aksi pembuka tirai musim ini.

Ini kali kedua berturut-turut JDT dan Kedah bertemu dalam perlawanan Sumbangsih di mana skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora menewaskan seterunya itu 1-0 pada 2020.

Walaupun dihimpit dengan pandemik COVID-19, MFL komited untuk menyempurnakan kalendar Liga Malaysia 2021 yang melibatkan pertandingan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Challenge Cup manakala saingan Piala FA terpaksa dibatalkan susulan PKP pada Januari lalu.

Musim lalu, saingan Liga Super dan Liga Premier hanya berlangsung 11 perlawanan manakala kejohanan Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup dibatalkan ekoran penularan teruk pandemik COVID-19.