LIHAT PROMOSI TERKINI SHOPEE

DAPATKAN BERITA BOLA SEPAK KUCHING TERKINI DI TELEGRAM KUCHINGBORNEO .

KUCHING: Penyerang import Muamer Salibasic berhasrat menghadiahkan gol kepada penyokong Sarawak apabila melayan kunjungan skuad warga kota, KL SPA Putrajaya FC di Stadium Negeri, malam esok.

Ketika ditemui semalam, pemain dari Bosnia itu tampak bersemangat menjalani latihan dan yakin dapat menemui sentuhan pertamanya pada perlawanan tersebut.

BELI JERSI SARAWAK UNITED DAN KUCHING CITY YANG TERKINI

“ Setelah tiga minggu bersama Sarawak, keyakinan saya semakin memuncak dan saya mahu meledak banyak gol untuk pasukan selepas ini.

“Saya juga semakin selesa dengan rakan sepasukan dan mereka banyak membantu saya menyesuaikan diri sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Pada perlawanan menentang UiTM minggu lepas, Muamer hanya diturunkan pada 10 minit terakhir kerana mengalami hamstring.

Namun, ia tidak begitu serius dan beliau yakin dapat bermain sepenuh masa malam esok.

Menurut Muamer lagi, sebelum ini beliau kurang selesa dengan keadaan cuaca di sini yang menurutnya agak panas.

“Saya sudah biasa bermain dalam keadaan suhu kurang dari dua darjah Celsius.

Sebaik tiba di Kuching, saya agak kurang selesa dengan suhu di sini namun keadaan itu tidak lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Robert Alberts akan menurunkan kesebelasan terbaik kerana tidak mahu tercicir tiga mata berharga dalam usaha merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Sime Darby.

Katanya, tonggak tengah Guy Bwele dan kapten Shahrol Saperi akan kembali bermain selepas tamat tempoh penggantungan.

“Kita berada dalam ‘mood’ terbaik untuk mengutip tiga lagi mata susulan kemenangan besar membenam UiTM pada minggu lepas.

“Pemain juga berada dalam prestasi memuncak dan saya yakin kita bakal beroleh kemenangan,” katanya.

Pada masa yang sama, Alberts turut menasihati barisan pemainnya agar sentiasa fokus dan tidak memandang rendah kekuatan lawan.

Katanya, kealpaan mampu mendatangkan padah seperti apa yang berlaku pada perlawanan minggu lepas di mana gawang Sarawak dibolosi dengan mudah sebanyak dua kali.

“Kekuatan SPA sukar diduga kerana mereka berjaya mengikat kita pada perlawanan di pusingan pertama dulu.

“Justeru, saya mahu pemain sentiasa berhati-hati kerana mereka pastinya berhasrat untuk mencuri mata di sini,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo