Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (Miri FA) akan mengadakan mesyuarat bagi penjadualan semula perlawanan kempen Piala Belia 2020.

Hal tersebut telah dilaporkan oleh Utusan Borneo.

Ini ekolan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menghentikan semua aktiviti bola sepak bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Presidennya Miri FA, Mohd Saif Jubaidi berkata Miri FA telah mengarahkan semua perlawanan bola sepak termasuk liga tempatan dibatalkan serta merta apabila PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan agar semua perlawanan bola sepak dibatalkan dan kita juga mematuhi arahan itu serta membatalkan liga tempatan Miri,” katanya kepada Utusan Borneo.

Turut mendapat tempias ekoran PKP adalah Liga Futsal Kebangsaan 2020 yang mana Miri telah dilantik sebagai tuan rumah sementara.

“Liga Futsal Kebangsaan 2020 juga terpaksa dibatalkan dalam tempoh PKP dan semua jadual perlawanan akan disusun atur semula sebaik sahaja PKP tamat nanti,” jelas beliau.