Gendang perang sudah dibunyikan oleh pasukan Bujang Senang apabila Ketua Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala dipetik akhbar Utusan Borneo sebagai berkata bahawa beliau akan menurunkan barisan terkuat untuk melayan kunjungan pasukan bergelar ‘The Panthers’ di dalam satu lagi perlawanan Liga Super.
Sememangnya, Bala tidak memiliki pilihan lain, selain untuk memenangi perlawanan ini selepas pasukan bimbingannya jatuh ke zon penyingkiran ekoran kekalahan mengejut kepada Melaka United tempoh hari.
Menurut Bala, misi menentang Pulau Pinang FA adalah misi ‘hidup dan mati’, dengan kekalahan atau keputusan seri hampir pasti memutlakkan pemergian Sarawak FA ke Liga Premier musim hadapan.
Dalam pada itu, Bala dilaporkan mahu pemain beliau berhati-hati dengan Pulau Pinang FA, dan memastikan tiga mata menjadi milik Sarawak FA malam ini.
Sarawak kini berada di tangga ke-11 Liga Super, dan akan bertemu Pulau Pinang FA malam ini pada jam 8:15PM di Stadium Negeri. – sarawakcrocs.com