Ndumba Makeche bukanlah nama yang asing bagi peminat bolaepak Sarawak pada musim ini. Penyerang yang mempunyai kerakyatan Australia itu sedang gah mendahului senarai penjaring di dalam pasukan Sarawak, dan turut mengungguli senarai ‘assist’ (bantuan jaringan) bagi pasukan Bujang Senang.
SarawakCrocs hari ini berjaya menebual Makeche bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan kehidupan beliau di Sarawak, dan harapan beliau untuk pusingan kedua Liga Super.
Di dalam temubual ringkas tersebut, Makeche menyatakan beliau amat gembira akan prestasi permainannya kini. Beliau turut mengakui mahu mendapatkan lebih daripada sepuluh gol musim ini. Sungguhpun demikian, Makeche meletakkan kemenangan pasukannya sebelum jumlah jaringan peribadinya kerana beliau ‘tidak suka kalah akan sesuatu perlawanan’.
Penyerang 24-tahun itu turut memaklumkan kepada kami bahawa beliau pada asalnya kecewa kerana kecederaannya menyebabkan beliau gagal memulakan musim 2016 terus. Sungguhpun demikian, dengan prestasi beliau semakin memuncak, beliau telah mula yakin apabila beraksi dan ini sekaligus membantu dirinya pada setiap perlawanan.
Apabila kami memaklumkan beliau bahawa peminat bolasepak Sarawak rata-rata menyukai persembahan beliau, Makeche melahirkan perasaan gembira.
Sungguhpun demikian, Makeche enggan mendabik dada, sebaliknya berjanji akan terus berusaha agar beliau boleh membantu pasukan Bujang Senang memenangi lebih banyak perlawanan di Liga Super dan Piala Malaysia kelak.
Makeche juga optimis bahawa tempoh rehat yang panjang di dalam Liga Malaysia tidak akan menjejaskan prestasi baik beliau. Menurutnya, rehat panjang adalah perkara biasa dan beliau akan sentiasa mengekalkan kecergasan walau dimana berada. Tambah Makeche, sungguhpun beliau dijangka ke Perth di dalam beberapa hari, namun kecergasan dirinya tidak akan diabaikan. Makeche dalam pada itu turut memberitahu kami bahawa beliau mempunyai pelatih kecergasan sendiri di Perth.
Makeche menyanjungi lagenda bolasepak Brazil, Ronaldo Luís Nazário de Lima. Menurutnya, Ronaldo membuatkan gol mudah dijaringkan.
Makeche turut mengakui dirinya juga mengikuti perkembangan pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester United, dan pasukan Liga Australia, Perth Glory, yang telah menjadi kelab professional pertamanya.
Apabila diminta mengulas berkenaan kehidupan beliau di Kuching, Makeche menyatakan bahawa Kuching adalah tempat yang aman dan beliau amat menyukai kehidupan di sini. Tambah Makeche lagi, beliau merasakan penduduk di Kuching berfikiran lebih terbuka jika dibandingkan dengan penduduk Kuala Lumpur.