Naib johan Liga M3, Kuching FA, telah mengumumkan bahawa kemasukan peminat untuk perlawanan play-off Liga Premier akan diberi secara percuma sekiranya pasukan tersebut dipilih sebagai tuan rumah perlawanan tersebut.
Hal ini telah dikhabarkan oleh pasukan Kuching melalui satu kenyataan di Facebook rasmi pasukan tersebut.
Pengumuman yang dibuat pada jam 7.23PM kelmarin (Khamis) ini walaubagaimanapun telah ditarik balik oleh Kuching sekitar tengah malam tadi.
Punca pesanan tersebut ditarik balik tidak diketahui, namun adalah menjadi satu kebiasaan untuk Kuching memberi masuk secara percuma kepada peminat pasukan tersebut yang hadir menyaksikan perlawanan Liga M3 mereka.
Malaysia Football League (MFL) kelmarin menetapkan perlawanan play-off Liga Premier akan berlangsung di Stadium Sarawak pada 23 Nov ini.
Walaubagaimanapun, MFL belum memutuskan tuan rumah bagi perlawanan tersebut memandangkan kedua-dua pasukan Kuching dan Sarawak menggunakan stadium yang sama untuk perlawanan liga masing-masing.