Pengambilalihan Selangor United oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) membawa seribu satu pertanyaan.

Di media sosial dan juga dari perbualan peminat bola sepak, pendapat adalah terbahagi kepada dua; yang menyokong dan yang membantah.

// IKUTI KAMI DI INSTAGRAM WWW.INSTAGRAM.COM/SARAWAKCROCS UNTUK BERITA BOLA SEPAK MALAYSIA DAN SARAWAK RINGKAS

SarawakCrocs Tribal Jersey 2020

>>Dapatkan jersi rasmi Sarawak United 2020 dan SarawakCrocs Tribal jersey kini di TheKedey.com.

Sungguhpun demikian, persoalan yang paling utama adalah adakah FAS mampu mengendalikan dua pasukan bola sepak di dalam Liga Malaysia?

ISU YANG DIANGGAP SELESAI

Isu lesen kelab bola sepak menjadi duri dalam daging bagi pasukan milik FAS sebelum ini.

FAS bukan sahaja gagal mendapatkan lesen tersebut sekali, malahan hampir tiga kali gagal, sehingga pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi lesen bersyarat kepada pasukan tersebut pada akhir musim 2019.

Dengan mengambil alih Selangor United dan menjenama semula pasukan tersebut kepada Sarawak United, FAS kini memiliki lesen kelab bola sepak secara express kerana tindakan FAS boleh dianggap seperti membeli lesen pasukan bola sepak lain.

Ini menyaksikan FAS, melalui pasukan Sarawak United, kini memenuhi syarat untuk bertanding di Liga Malaysia seperti yang disyaratkan oleh Malaysia Football League (MFL).

Bukan sahaja itu, Sarawak United dilihat sebagai pasukan yang tiada masalah kewangan, satu masalah yang telah dihadapi oleh FAS dengan Sarawak FA.

MASALAH KEWANGAN SEBELUM INI

Sungguhpun demikian, umum telah tahu bahawa FAS sememangnya mempunyai masalah kewangan sebelum berita pengambilalihan pasukan Selangor United.

Presiden FAS, Posa Majais telah acap kali dipetik media tempatan berkata bahawa peruntukan FAS adalah tidak besar dan FAS kekurangan dana.

Malah, ada khabar juga mendakwa pemain lewat dibayar gaji suatu waktu dahulu, sekaligus memberi gambaran bagaimana tenatnya kewangan FAS pada ketika itu.

Pengambilalihan Selangor United yang dipercayai seperti membeli sebuah kelab bola sepak, dilihat sebagai bukti bahawa FAS kini sudah memiliki kewangan yang lebih stabil sehinggakan mampu mengambilalih sebuah kelab bola sepak.

Akan tetapi, permintaan Posa dalam temubual ringkas dengan Suara Sarawak , dimana dia meminta untuk mempercepatkan penurunan dana oleh Kerajaan Sarawak menimbulkan persoalan kewangan itu kembali.

APA AKAN BERLAKU KEPADA SARAWAK FA?

Hakikatnya, FAS kini seperti lebih mempersiapkan Sarawak United untuk Liga Premier berbanding Sarawak FA untuk Liga M3.

Di media sosial, heboh berkenaan pencarian import baharu, jurulatih baharu dan pemain baharu untuk Sarawak United.

Nasib pemain Sarawak FA buat masa ini tidak diketahui, dan ada yang secara terang telah berhijrah ke pasukan lain.

Pasukan Sarawak FA yang sebelum in gah diletakkan sebagai pasukan ‘anak Sarawak’ seperti tenggelam terus dari radar dan perhatian semua apabila terjunam ke Liga M3 dengan semua tumpuan kini terarah ke pasukan Sarawak United.

Ini terus kepada pengamatan kami bahawa FAS mungkin akan atau sudah membuat satu keputusan strategik dimana pasukan Sarawak FA dibubarkan pada masa hadapan.

Umum tahu bahawa sebuah pasukan Liga Malaysia mesti mempunyai pasukan di tiga peringkat, yakni pasukan senior, pasukan Piala Presiden dan pasukan Piala Belia, dan ini akan memakan kos yang tinggi.

Jika FAS mampu untuk terus mengekalkan semua pasukan-pasukan di bawah Sarawak United dan Sarawak FA, bagus.

Akan tetapi, kami percaya kewangan FAS bukanlah sekukuh itu, dan salah satu daripada pasukan tersebut akan ‘ lenyap’. Harus diingat, semua pasukan tersebut perlukan peruntukan yang besar kerana perlu ke Semenanjung Malaysia untuk perlawanan mereka. Jika FAS sebelum ini bergelut dari segi dana untuk menghantar tiga pasukan, apa lagi enam?

Persoalannya kini adalah, apakah tindakan FAS yang seterusnya?

Adakah mereka akan terus melenyapkan Sarawak FA, atau adakah mereka akan secara perlahan membangunkan pasukan tersebut? Jika Sarawak FA diwakili pasukan Piala Presiden yang diuruskan Phillip Jabu, adakah satu lagi pasukan Piala Presiden terpaksa dibentuk?

Semua ini masih menjadi tanda tanya, namun pada pegamatan kami, jika FAS membubarkan Sarawak FA terus, ianya adalah terang-terangan menunjukkan FAS telah berjaya mempermainkan sistem promosi dan penurunan Liga Malaysia.