Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 3-0 kepada Indonesia pada perlawanan persahabatan antarabangsa “A” di Stadium Manahan, Solo, malam tadi.
Kesilapan pemain pertahanan, Fadhli Shas membolehkan kapten Indonesia, Boaz Salossa melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat seawal minit ketujuh untuk gol pertama Indonesia.
Empat minit berselang, Indonesia berjaya menambah jaringan kedua menerusi Irfan Bachdim selepas kesilapan pemain tengah Malaysia, Brendan Gan yang kehilangan bola.
Malaysia terus tertekan apabila Indonesia kendalian Alfred Riedl berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-22 menerusi jaringan kedua peribadi Boaz yang menyudahkan peluang dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol.
Usaha Malaysia untuk memecah kebuntuan bagi merapatkan kedudukan terus gagal biarpun beroleh beberapa peluang terbaik dan kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat.
Malaysia kini di ranking ke-167 dunia manakala Indonesia yang kembali beraksi di pentas antarabangsa buat kali pertama selepas penggantungan di ranking ke-191.
Bagi perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya, Malaysia akan menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober ini diikuti pertemuan dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.