Mahu jadi ‘champion’

Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menegaskan belum masanya lagi untuk barisan pemain meraikan kejayaan layak ke Liga Super 2022 kerana masih ada baki tiga perlawanan untuk mereka mengejar kejuaraan Liga Premier pada musim ini.

Skuadnya terlebih dahulu telah pun mengesahkan slot ke Liga Super 2022 susulan kekalahan Kuching City FC kepada Negeri Sembilan FC semalam sekali gus menyaksikan kedudukannya tetap selamat sama ada di tangga teratas atau kedua liga meskipun jika tewas kesemua tiga lagi baki perlawanan akan datang.

Namun, Elavarasan tetap mahu anak buahnya mengambil serius tiga perlawanan itu bagi memastikan trofi Liga Premier menjadi milik mereka kerana semestinya ia akan menjadi kejayaan berganda untuk pasukan apatah lagi selepas mengharungi musim mencabar pada musim lalu selepas menamatkan saingan di tangga ke-10 liga.

“Persembahan pemain yang kita boleh banggakan dan saya sebagai jurulatih hanya menjalankan tugas sahaja untuk memastikan pasukan mampu ke Liga Super musim depan.

“Sudah tentu lega sebab dah melepasi sasaran pertama, itu yang paling penting, cuma apabila kita dah layak awal, selepas ini sudah pasti kita fokus misi untuk menjadi juara pula.

“Selepas ini, saya percaya baik Negeri Sembilan dan Kuching City, dua dua akan bagi tentangan lebih hebat apatah lagi Kuching juga masih berpeluang untuk menyaingi Negeri Sembilan, yang penting untuk kami adalah baki tiga perlawanan akan datang ini,” katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top