Pasukan Bujang Senang gagal mencipta kemenangan pertama di halaman sendiri untuk Liga Super malam ini selepas tunduk kepada pasukan Johor Darul Ta’zim 2-0 malam ini.
Perlawanan bermula rancak dengan pasukan Sarawak FA tidak membuang masa menyerang kubu JDT, namun tiga percubaan awal daripada Nur Shamie, Tommy Mawat dan Mark Hartmann gagal menemui sasaran.
JDT yang bertahan pada minit-minit awal perlawanan mula menampakkan mutu tersendiri selepas itu, dan Cabrera merobek gawang Sarawak FA yang dikawal Shahril Saari pada minit ke-9 dengan rembatan hasil sepakan penjuru Syafiq Rahim.
Sarawak FA cuba bangkit, namun kualiti hantaran serta kekukuhan bahagian tengah JDT yang dikawal Nazmi Faiz sukar ditandingi sekaligus menyaksikan kebanyakan cubaan serangan Sarawak FA berakhir dengan kekecewaan sehingga tamatnya babak pertama.
Pada babak kedua, Sarawak FA memasukkan Shreen Tambi untuk memperkemaskan bahagian tengah, namun ketangkasan bahagian tengah pasukan yang bermain di Piala AFC itu amat ketara, menyaksikan JDT banyak mengusai pwrlawanan.
Pada minit ke 70, satu gerakan solo dari Cabrera menemui belakang gol Sarawak FA untuk gol kedua perlawanan.
David Usop, Ketua Jurulatih Sarawak FA cuba mempertajamkan serangan beliau dengan memasukkan Mohd Hafiz dan Abdul Rahim, namun kedudukan 2-0 memihak JDT kekal sehingga berakhirnya perlawanan.