Liga Super: Penalti Liridon benam Sarawak di Darul Aman

Pasukan Bujang Senang gagal di dalam misi membawa pulang sebarang mata dari Stadium Darul Aman malam ini selepas tewas kepada Kedah 2-1.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada separuh masa pertama, namun kekebalan kedua-dua benteng pertahanan mengakibatkan babak pertama berakhir tanpa sebarang gol terhasil.

Bermula babak kedua, Sarawak mengubah strategi dengan memperkenalkan serangan pantas, dan ianya akhirnya berjaya memerangkap Kedah apabila Ndumba Makeche berjaya merobek pintu gol Kedah pada minit ke-51.

Kegembiraan pasukan Sarawak walaubagaimanapun tidak bertahan lama apabila penyerang Sarawak, Tommy Mawat, tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-64, sekaligus menyaksikan kedudukan sekali lagi terikat.

Enggan menyerah kalah, Sarawak terus mengasak untuk mencari gol pendahuluan, tetapi penyerang berbisa Kedah, Liridon pula yang menjaringkan gol pada minit ke-72 melalui sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil.

Kedah yang seperti bangun dari tidur terus menyerang kubu Sarawak dan hampir menambah jaringan pada minit ke-79, namun rembatan kencang Badrol Bakhtiar terkena palang.

Dengan baki sepuluh minit, Kedah terus memperkuatkan barisan pertahanan mereka, sekaligus menyaksikan pasukan tuan rumah mengutip mata penuh pada masa penuh perlawanan.

 

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top