Sarawak gagal memanfaatkan peluang bermain di hadapan penonton sendiri apabila tewas 2-0 kepada pasukan Pulau Pinang malam ini.
Pulau Pinang bermula garang dengan melancarkan serangan seawal minit pertama, namun hantaran ke kawasan penalti Sarawak mudah dipatahkan K Thanaraj yang bermain di bahagian pertahanan.
Pada minit ke-14, kealpaan barisan pertahanan Sarawak menyaksikan Mohd Faizat mudah meledak masuk bola hantaran salah seorang pemain Penang, sekaligus meletakkan pelawat di hadapan.
Skuad bimbingan David Usop cuba memberikan cabaran namun hantaran dan peluang terbaik daripada Ndumba Makeche sipi dari sasaran.
Sarawak hampir menyamakan kedudukan pada babak-babak terakhir perlawanan tetapi hantaran ke dalam kotak penalti oleh Junior Aparecido, gagal dikuis masuk oleh Tommy Mawat.
Bermulanya babak kedua, Sarawak memasukkan Syahrul Azwari menggantikan Shreen Tambi, dan kemudiannya mengeluarkan Tommy Mawat untuk Nur Shamie, namun kekebalan benteng pertahanan Pulau Pinang yang dikawal bekas penjaga gol Sarawak, Sani Anuar gagal ditembusi.
Sebaliknya, Pulau Pinang pula yang berjaya menerjah jaring pada minit ke-83 apabila S Kumaran merembat masuk peluang keemasan di hadapn pintu gol Sarawak.
Sungguhpun gol kedua pasukan Pulau Pinang tidak mematahkan semangat pemain pasukan Sarawak, namun pasukan bimbingan David Usop terus gagal memanfaatkan peluang, sekaligus menyaksikan pasukan Pulau Pinang pulang dengan mata penuh pada malam ini.
Kekalahan pasukan Sarawak menyaksikan mereka sekali lagi dipintas di dalam Liga Super, dan meletakkan mereka di kedudukan lebih teruk di dalam Liga Super.