KUCHING: Pasukan bimbingan David Usop sekali lagi menggigit jari malam tadi, kali ini di dalam perlawanan Liga Super, selepas tewas 3-1 kepada Felda United FC.
Bermain di hadapan penyokong sendiri, tuan rumah tersentak awal dengan jaringan Thiago Agusto pada minit ke-11 yang menewaskan Shahril Sa’ari melalui satu tandukan cantik.
Pasukan Bujang Senang cuba merapatkan jurang dengan serangan-serangan melalui Alif dan Mateo Roskam, namun Thiago sekali lagi menjaringkan gol untuk pasukan pelawat pada minit ke-36, kali ini melalui rembatan leret dari kanan pintu gol yang melepasi jangkauan Shahril.
Pada babak kedua, Thiago sekali lagi menemui belakang jaring Sarawak FA apabila beliau menanduk masuk gol hattrick beliau pada minit ke-54.
Enggan mengalah, pasukan Bujang Senang terus mencari gol pertama mereka dengan serangan-serangan kilat, dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Alif Hassan menjaringkan gol cantik pada minit ke-70 melalui rembatan kencang di kanan padang.
Nasib walaubagaimanapun terus tidak menyebelahi tuan rumah apabila Hairol Mokhtar dilayangkan kad merah akibat berkelakuan kasar beberapa minit sebelum tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan pasukan Bujang Senang bermain dengan sepuluh orang sahaja sehingga tamat mas penuh. – SarawakCrocs.com