Liga SSC-FAS yang telah menamatkan pusingan pertama akan ditangguhkan buat sementara waktu.
Laporan akhbar tempatan menyebut bahawa keputusan tersebut telah dicapai berikutan situasi semasa yang melibatkan peningkatan jangkitan Covid-19 di Sarawak.
“Disebabkan keadaan pandemik Covid-19 belum reda, jawatankuasa pengurusan SSC dan FAS telah mencapai persetujuan bersama untuk menangguhkan sementara perlawanan liga ini” kata Ketua Eksekutif SSC, Dr Ong Kong Swee dalam satu laporan media tempatan.
“Kita buat keputusan ini demi kesihatan dan keselamatan semua pihak, terutama mereka yang terlibat secara langsung.” ujarnya lagi.
Liga yang juga dikenali sebagai Liga Sarawak oleh sesetengah pihak menyaksikan penglibatan 11 pasukan dari seluruh Sarawak.
Liga tersebut dibahagikan kepada tiga kumpulan kecil yakni Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Selatan dengan dua pasukan teratas melayakkan diri ke pusingan seterusnya yang sepatutnya dilangsungkan di Bintulu kelak.