Liga Malaysia dapat pujian penganjur Liga Korea

K League mengakui Liga Malaysia antara liga yang semakin berkembang pesat di rantau Asia Tenggara yang menyebabkan mereka kini berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Football League (MFL) pada masa akan datang.

Menurut Ketua Perancangan Strategik dan Pembangunan, Park Seong Kyun, bola sepak rantau Asia Tenggara seperti Malaysia sedang diperhatikan oleh kebanyakan pihak di Korea Selatan ekoran aksi baik dipamerkan pentas antarabangsa.

Maka, pihaknya sedia menilai apakah bidang yang boleh diterokai bersama MFL selain ingin mengetahui lebih mendalam lagi mengenai Liga Malaysia demi kebaikan kedua-dua pihak.

“K League merasakan pihak kami boleh menjalinkan kerjasama dengan liga-liga lain dan MFL saya lihat merupakan sebuah liga berpotensi untuk kami jalinkan kerjasama.

“Tambahan kami di K League pada musim depan akan memperkenalkan kuota pemain import dari Asean, jadi kenapa kami di sini melihat apa ruang kerjasama yang kami boleh jalinkan.

“Pada pandangan saya Liga Malaysia sekarang semakin dikenali memandangkan sudah banyak pemain bola sepak serta media Korea Selatan tahu kemeriahan bola sepak di rantau Asia Tenggara.

“Kebanyakan negara di rantau ini semakin berkembang pantas dan Malaysia salah satu yang tunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini,” kata Seong Kyun.

Sementara itu, Seong Kyun jelaskan pihaknya kini dalam fasa merangka memorandum persefahaman (MOU) jika ada beberapa aspek dapat dipersetujui dengan MFL.

Antara aspek utama yang menjadi minat K League ialah aspek pembangunan akar umbi, pertukaran pemain dan sebarang bentuk perniagaan yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada kedua-dua liga.

“Kami ada berbincang sejak beberapa bulan lalu kerana mahu jalinkan kerjasama dengan lebih serius antara satu sama lain, terutama dalam bidang apa kita boleh bertukar-tukar maklumat.

“Untuk tujuan ini, kami harap ada beberapa sektor seperti program pertukaran pemain, pembangunan pemain muda dan sebagainya mampu dilakukan.

“Kami akan cuba mendapat kata putus dalam jalinan kerjasama ini sebelum merangka sebarang perjanjian persefahaman (MOU), sekarang K League dan MFL sedang berusaha ke arah itu, ” katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top