Bantahan Persatuan Bolasepak Sibu berkenaan tindakan Persatuan Bolasepak Kapit yang dikatakan menyenaraikan seorang bekas pemain Piala Belia 2015 di dalam pasukan Borneo Leopards telah ditolak.
Borneo Leopards adalah nama pasukan Kapit di dalam pertandingan Liga Bolasepak Rakyat (LBR).
Menurut sumber kami, surat penolakan bantahan tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi, dan kemenangan 3-0 memihak Leopards akan dikekalkan.
Tambah sumber kami, pihak LBR telah mendapati bahawa Leopards tidak ada melanggar peraturan pertandingan ketika menyenaraikan Mohd Suffian di dalam senarai pemainnya, di mana syarat pertandingan LBR hanya menetapkan bahawa pemain yang bermain di dalam liga jagaan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sahaja yang tidak dibernarkan bermain.
Sibu sebelum ini telah mengemukakan aduan rasmi kepada pihak pengurusan LBR mendakwa Leopards menyenaraikan pemain yang tidak sah di dalam pasukan mereka ketika menang di dalam perlawanan pembukaan LBR Zn Borneo II.
Presiden Kapit, Kennedy Kuyang dalam pada itu telah menafikan pihak beliau bersalah dan berkata akan melakukan pembelaan jika keputusan tidak memihak kepada persatuan beliau.