Kurniawan bersyukur, Sabah kembali bermotivasi

Kejayaan pasukan Sabah FC melakar kemenangan pertama apabila melayan kunjungan Terengganu FC di Liga Super kelmarin disambut gembira oleh ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto.

Di sebalik tekanan apabila pihak pengurusan Sabah memberi amaran keras kepada beliau susulan prestasi hambar yang telah ditampilkan dalam empat perlawanan terdahulu, Kurniawan bersyukur barisan pemain akhirnya membuktikan sesuatu di Stadium Likas dan lebih memuaskan apabila dapat meleburkan rekod bersih tanpa kalah TFC.

Kurniawan juga menyatakan bahawa kemenangan tersebut akan menjadi tonik kepada menaikkan lagi moral pemain.

“Yang pertama, saya bersyukur sangat atas kemenangan ini kerana tiga mata pertama ini penting bagi mengangkat kembali moral barisan pemain dan yang kedua saya ingin ucapkan terima kasih kepada pemain yang menampilkan aksi cukup luar biasa meskipun kami di bawah tekanan selepas aksi yang hambar sebelum ini.” kata Kurniawan.

“Saya memang sentiasa cuba untuk bangkitkan motivasi mereka apatah lagi kita sedar cabaran cukup berat untuk menghadapi pasukan yang mempunyai rekod bersih setakat ini seperti TFC, dan Alhamdulillah mereka membuktikan sesuatu yang positif untuk menghadapi lawan.

Dalam perkembangan sama, Kurniawan mahu terus memperbaiki kekurangan yang dikesan dalam pasukannya dan tidak mahu terlalu memikirkan soal kedudukan beliau dalam pasukan.

“Apa yang penting, kami akan terus perbaiki kekurangan yang ada dalam tempoh liga berehat ini, saya tidak mahu bebankan fikiran dengan memikirkan kedudukan saya kerana saya percaya pihak pengurusan akan buat keputusan terbaik dan tugas saya sekarang adalah meneruskan tugas dengan lebih baik membimbing pasukan”, katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top