Kurang 24 jam penentuan lesen kelab bola sepak Sarawak FA

30 Oktober 2019 merupakan tarikh penting bagi bola sepak Sarawak, khususnya pasukan Sarawak FA.

Jika tiada perubahan di dalam tarikh, pada 30 Oktober, merupakan tarikh akhir untuk Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), yang dipimpin oleh Posa Majais, dikehendaki menghantar semua dokumen sokongan yang diperlukan untuk memperolehi lesen kelab bola sepak kepada First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM.

Sarawak FA, bersama-sama Kelantan FA dan UKM FC diberi sehingga 30 Oktober (esok) untuk menghantar dokumen bagi memperolehi lesen kelab bola sepak bagi musim 2020.

Semua pasukan di Liga Malaysia, yakni Liga Premier dan Liga Super mesti memiliki lesen kelab bola sepak bermula musim hadapan.

Buat masa ini, kami tidak tahu sekiranya FIB akan bermesyuarat terus pada esok hari dalam menentukan status lesen kelab bola sepak Sarawak FA, Kelantan FA dan UKM FC, namun jika mana-mana antara pasukan tersebut gagal melengkapkan dokumen seperti yang diminta, mereka akan diturunkan ke Liga M3.

Amaran keras berkenaan penurunan status pasukan bola sepak itu telah dilaungkan oleh FIB pada 27 september lalu, sekaligus memberikan ketiga-tiga pasukan lebih 30 hari untuk mempersiapkan diri.

Sekiranya mana-mana pasukan antara ketiga-tiga pasukan tersebut gagal melengkapkan dokumen mereka, ianya akan hampir pasti memberi impak positif kepada pasukan Kuching FA yang kini di dalam kedudukan terbaik untuk mengakhiri musim Liga M3 di tempat kedua.

Ini adalah kerana, sebarang penurunan pasukan dari Liga Premier akan membuka satu atau lebih slot kosong di Liga Premier.

Ini sekaligus memberi Kuching ruang di Liga Premier 2020 secara automatik, dan membuat separang perlawanan ‘play off’ tidak diperlukan.

Adalah diharapkan FAS sudahpun menghantar segala dokumen yang diperlukan agar Sarawak FA masih boleh kekal di Liga Premier musim hadapan.

Sekiranya masih gagal, sememangnya tiba masa sesuatu yang drastik dilakukan keatas pengurusan tertinggi FAS kerana ini bukanlah kegagalan pertama FAS dalam mendapatkan lesen kelab bola sepak, tetapi ianya sudah berlaku beberapa kali sejak 2017.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top