Kuching teruskan rentak kemenangan

Pasukan Kuching FA (Kuching City FC) meneruskan rentak cemerlang pasukan tersebut di Liga Premier dengan kemenangan bergaya ke atas Kuala Lumpur FA malam tadi.

Gol kemenangan Kuching dijaringkan melalui pemain – pemain import Kuching, Bryan Jones (Minit 21) dan Yuta Suzuki (Minit 34).

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kelima berturut – turut oleh pasukan yang baharu sahaja berusia lima tahun itu.

Ini sekaligus menyaksikan Kuching menamatkan musim sulungnya di Liga Premier dengan bergaya, dengan pasukan tersebut mengutip 16 mata, hasil daripada 11 perlawanan.

Daripada 11 perlawanan itu, Kuching telah menang sebanyak enam kali, seri tiga kali dan tewas dua kali.

Kejayaan Kuching yang menggunakan kebanyakan pemain anak watan Sarawak itu membolehkan Kuching dengan selesa mara ke pertandingan Piala Malaysia buat julung kalinya, sekaligus menjadi wakil tunggal dari Sarawak ke pertandingan tersebut musim ini.

Dengan sasaran Kuching untuk kekal di Liga Premier kini sudah tercapai, tumpuan pasukan yang bakal bergelar Kuching City FC itu kini teralih ke persediaan Piala Malaysia di mana mereka akan berdepan saingan lebih sengit lagi dari lapan pasukan Liga Super dan empat lagi pasukan Liga Premier yang juga telah layak.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top