Biarpun sudah tidak mampu memintas Kelantan United di tangga teratas Liga M3, Kuching FA meneruskan rentak kemenangan dengan kemenangan cukup bergaya ke atas Batu Dua FC.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati dengan Kuching mula mengorak langkah ke arah gawang secara teratur.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Yuta Suzuki akhirnya memecah buntu gol apabila bijak merembat masuk hantaran cantik Joseph Kalang Tie bagi memberikan Kuching gol pendahuluan pada minit ke-19.

Kuching hampir menggandakan jumlah jaringan pada minit ke-26, namun hantaran Joseph ditanduk sipi dari sasaran.

Batu Dua yang ketinggalan kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan apabila kesilapan daripada bahagian pertahanan Kuching membolehkan Faizal Aziz mudah meloloskan diri dari kawalan sebelum merembat satu gol yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching, Hafiezulhashim.

Kedudukan terikat 1-1 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Pada babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus berbalas serangan, dan pemain gantian Samsu Alam akhirnya berjaya meletakkan Kuching kembali di hadapan pada minit ke-77 apabila merembat kencang bola hasil perebutan di dalam kawasan penalti.

Joseph kemudiannya menambah derita pasukan pelawat apabila beliau tidak mempersiakan hantaran cantik Ahmad Syakri untuk meledakkan gol ketiga pasukan Kuching pada minit ke-80.

Enggan berpuas hati, Kuching terus mengasak kubu Batu Dua dan Suzuki sekali lagi berjaya menjaringkan gol apabila beliau menerima hantaran Dzulazlan Ibrahim dan terus melambungkan bola melangkaui capaian penjaga gol Batu Dua, sekaligus memberikan gol ke-4 kepada pasukan Kuching.

Kedudukan 4-1 memihak kepada Kuching kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus memberikan Kuching tiga mata di dalam Liga M3.