Pasukan Kuching FA meneruskan rentak bertenaga di Liga M3 hari ini apabila menewaskan Puchong Fuerza 3 – 4.
Kuching bermula garang apabila Hairol Mokhtar membuka jaringan untuk pasukan pelawat seawal minit ke-4 melalui tandukan kencang yang menerjah jaring.
Joseph Kalang melebarkan jurang kedua pasukan dengan mencetak gol kedua perlawanan seminit kemudian hasil perebutan di depan pintu gol.
Enggan mengalah, Sunday merapatkan jurang gol untuk Puchong pada minit ke-30 selepas berjaya merampas bola sebelum merembat kencang ke gawang Kuching.
Kedua-dua pasukan mengakhiri babak pertama dengan Kuching mendahului 2-1.
Bersambung babak kedua, Kuching meneruskan tekanan ke atas Puchong dan Joseph akhirnya menambah gol kedua beliau di dalam perlawanan pada minit ke-51.
Puchong merapatkan jurang dengan jaringan Sunday pada minit ke-63 dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Kwofie meledak gol ketiga Puchong melalui sepakan penalti pada minit ke-75.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun terus buntu menambah jaringan sehingga Yazid menjaringkan gol kemenangan Kuching pada minit-minit kecederaan menerusi satu tandukan lemah, sekaligus memberikan Kuching tiga mata berharga.