Pihak pengurusan Kuching FA kini sedang mempertimbangkan penstrukturan semula gaji pemain ekoran penularan penyakit Covid-19 yang melanda Malaysia.

Menurut laporan Suara Sarawak, pihak Kuching FA akan walaubagaimanapun mempertimbangkan kaedah tersebut berdasarkan maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Liga Bola Sepak Malaysia(MFL) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Professional Malaysia (PFAM).

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata pihaknya akan berpandukan nasihat dan panduan daripada MFL, FAM dan FIFA untuk penstrukturan semula gaji pemain.

Suara Sarawak memetik Fazzruddin sebagai dimaklumkan bahawa PFAM dan MFL sedang mengadakan perbincangan mengenai struktur pemotongan gaji pemain.

“Setelah mendapat pengesahan daripada badan induk persatuan baharu kita berbincang dengan pemain berkenaan pendekatan Kuching FA dan keputusan akan diambil jika semua pihak bersetuju.

“Saya juga yakin bahawa Kuching FA tidak akan menghadapi masalah dalam perbincangan ini kerana semua pihak memahami keadaan semasa yang kami hadapi sekarang ini,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak semalam.

Fazzruddin juga berkata beliau akan bertemu dengan pihak penaja dalam masa terdekat untuk menerangkan situasi terkini dan perancangan MFL dan FAM kelak.

Ini walaubagaimanapun hanya akan dilakukan setelah mendapat pihak pengurusan Kuching FA maklumat terkini daripada kedua – dua badan itu kelak.

Sebelum ini, pasukan Kuching FA telah memotong lima peratus gaji mereka untuk disalurkan ke tabung bantuan Covid-19 secara sukarela, sekaligus menjadikan mereka pasukan pertama di Sarawak yang berbuat demikian.

Kuching FA adalah sebuah kelab bola sepak yang bertapak di Kuching, dan kini bermain di Liga Premier Malaysia selepas layak secara merit ke liga tersebut dengan memenangi play-off Liga Premier musim lepas.