Pada 2 Mac yang lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia untuk membuka dua slot ke Liga FAM bagi mana-mana pasukan yang memasuki perlawanan akhir Liga Bolasepak Rakyat (LBR) Kebangsaan.
Dengan kejayaan manis Persatuan Bolasepak Kuching melangkah ke perlawanan akhir pada 28 Mei kelak, harapan peminat bolasepak Sarawak adalah sudah pasti untuk menyaksikan satu lagi pasukan dari Sarawak bermain di dalam salah satu liga professional di Malaysia.
Sungguhpun demikian, seperti juga pasukan Ibraco FC yang pernah ditawarkan tempat untuk bermain di salah satu liga professional Malaysia suatu ketika dahulu, keinginan Kuching FA berkemungkinan akan disekat oleh beberapa perkara yang getir dimiliki oleh sesebuah kelab bolasepak di Malaysia.
Dari pengamatan pihak kami, empat perkara dibawah bakal menjadi kekangan terbesar pasukan Kuching jika bertanding ke Liga FAM:
KOS PERJALANAN BESAR
Pada tahun 2007, pasukan Sarawak telah terpaksa menggunakan bas ke Brunei akibat kekurangan dana. Pasukan Bujang Senang juga pada minggu sebelum kejadian itu juga gagal menghadirkan diri di perlawanaan liga menentang Pahang, disyaki juga akibat kekurangan dana. Dua kes ini membayangkan betapa keperluan sesebuah pasukan untuk menyediakan wang untuk pengangkutan dan penginapan pemain yang akan bermain di seluruh negara. Kuching perlukan penaja besar bagi menampung kos ini jika ingin bermain di liga FAM kerana dianggarkan pihak persatuan memerlukan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk satu perlawanan di tempat lawan bagi menampung kos tersebut.
PEMAIN PROFESSIONAL
Bila kita sebutkan ‘pemain professional’, rata-rata peminat berfikir bahawa ianya melibatkan pemain yang berkebolehan dan hebat. Namun, kesnya adalah tidak seperti itu. Pemain ‘professional’ bermaksud pemain tersebut bekerja sepenuh masa sebagai pemain bolasepak, dan tidak terikat di dalam kerjaya lain. Di dalam konteks ini, kebanyakan pemain Kuching FA kini adalah pekerja di dalam industri lain, selain bolasepak. Mereka perlu mendapatkan pelepasan jangka panjang dari majikan mereka atau berhenti kerja. Jika majikan enggan melepaskan mereka, maka pemain tersebut tidak akan dapat bermain di Liga FAM yang merupakan sebuah liga professional. Isu ini tidak asing bagi Sarawak apabila beberapa pemain yang sepatutnya diambil oleh K Rajagobal gagal mendapatkan pelepasan majikan untuk mewakili pasukan Bujang Senang musim ini.
SUMBER KEWANGAN & PENAJA
Sungguhpun ramai peminat percaya Sarawak memiliki banyak syarikat berstatus antarabangsa, namun samada mereka mahu menaja pasukan Kuching belum dapat dipastikan lagi dengan hakikat bahawa penajaan pasukan Kuching belum pasti akan membawa pulangan baik dari segi penjenamaan, mahupun keuntungan. Ini adalah kerana penajaan hampir kesemua pasukan bolasepak di peringkat Malaysia kini adalah lebih kepada ‘ehsan’ penaja daripada membawa keuntungan.
KETIADAAN PADANG SESUAI
Walaupun pasukan Kuching boleh bersama-sama berkongsi Stadium Negeri dengan pasukan Sarawak untuk perlawanan mereka di Liga FAM, penggunaan stadium tersebut secara berterusan akan mengakibatkan rumput yang ditanam tidak tahan, sekaligus menyaksikan padang stadium terus teruk. Dengan penggunaan padang kini pun, keadaan padang Stadium Negeri di dalam keadaan tidak memuaskan walaupun ianya kelihatan cantik secara amnya. Pasukan Kuching boleh walaubagaimanapun menggunakan Padang Jubilee tetapi rekabentuk Padang Jubilee, serta stadium-stadium mini lain di sekitar Kuching, yang terbuka tidak sesuai untuk memulakan kutipan tiket bagi penonton, dan sewaan bagi Stadium Negeri (sekiranya pasukan Sarawak menggunakan Stadium Sarawak pada musim hadapan) akan menambahkan beban kewangan Kuching FA.