Pasukan Kuching FA nampaknya sudah semakin hampir mempersiapkan diri untuk saingan Liga Premier pada musim hadapan apabila mengumumkan bahawa senarai pemain mereka akan dilengkapkan sebaiknya pada minggu hadapan.
Mengikut laporan Utusan Borneo, Ketua Jurulatih Kuching FA, Ideris Untong berkata bahawa bahawa pasukan Kuching FA masih mencari beberapa orang bemain untuk memperkuatkan pasukan tersebut.
“Kita sedang mencari lima pemain baru, tiga import asing dan dua pemain tempatan untuk digabungkan bersama skuad sedia.
“Jika semuanya berjalan dengan lancar, kita dijangka mengumumkan senarai lengkap pemain Kuching FA pada minggu hadapan,” katanya kepada Utusan Borneo.
Kuching FA sedang giat mempersiapkan diri untuk penyertaan sulung di dalam Liga Premier selepas pasukan tersebut berjaya melayakkan diri ke saingan liga bola sepak profesional Malaysia dengan menewaskan pasukan Sarawak FA November lalu melalui perlawanan play-off.
Walaupun Kuching FA hanya berhajat untuk kekal di Liga Premier pada musim 2021, pasukan tersebut boleh melayakkan diri ke Liga Super dengan minima posisi ke-5, sekiranya semua pasukan simpanan menduduki tangga teratas Liga Premier.
Ini adalah kerana pasukan simpanan tidak boleh bermain di liga sama dengan pasukan utama.