Kelab Bola Sepak Kuching City tewas 4-1 kepada pasukan Selangor 2 dalam perlawanan pertama penyambungan semula Liga Malaysia malam ini tadi.
Pasukan tersebut turun tanpa kehadiran penyerang sensasinya, Hudson Dias, dan gagal mengekang asakan bertali arus pasukan pelawat yang berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-25 melalui Ahmad Danial.
Kedua – dua pasukan kemudiannya saling berbalas serangan namun terus buntu untuk mencari gol tambahan.
Kedudukan kekal memihak pasukan pelawat sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Selangor 2 terus menggandakan kelebihan menerusi pemain gantian Mohd Fazrul yang berjaya menjaringkan gol pada minit ke-47, sebelum pemain tengah, Ahmad Daniel sekali lagi berjaya merobek gawang tuan rumah untuk gol ketiga perlawanan.
Kuching cuba untuk memberi sedikit tentangan melalui serangan kilat yang diterajui Joseph Kalang Tie dan Yuta Suzuki, namun penyudah tumpul menggagalkan hasrat mereka untuk merapatkan jurang.
Sungguhpun demikian, tindakan bijak Joseph akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 91 perlawanan, sekaligus menyaksikan jurang gol sedikit mengecil.
Biarpun demikian, kegembiraan dan hasrat Kuching untuk terus merapatkan lagi perbezaan gol berkecai apabila Alif Haikal menjaringkan gol ke-4 pasukan pelawat.
Gol ke-4 Selangor 2 mematikan rentak pasukan Kuching, yang akhirnya pulang dengan keputusan tewas 4-1 kepada pasukan simpanan Selangor FC.
Keputusan akhir, Kuching City 1-4 Selangor 2.