Kelab Liga Premier Kuching City mengumumkan kelab tersebut kini sedang menjana pendapatan dari aktiviti perniagaan yang dijalankannya.
Menurut pemiliknya, Fazzruddin Abdul Rahman, kelab tersebut menyahut seruan Malaysia Football league (MFL) yang mahukan kelab bola sepak di Malaysia mampu berdiri di atas kaki sendiri.
Oleh itu, Kuching City kini telah berjaya menjana pendapatan melalui sewaan padang latihannya kepada pendudukan sekitar Kuching.
“Kita juga mempunyai sebuah padang, yang mana kita gunakan untuk latihan, dan dalam masa sama kita sewakan kepada pengiat pengiat sukan di kawasan Kuching yang juga merupakan satu punca pendapatan kami.” kata Fazzruddin pada majlis pelancaran jersi baharu kelab tersebut Jumaat lalu.
Fazzruddin juga berkongsi perancangan kelab tersebut yang sedang merancang untuk mempergiatkan lagi aktiviti mencari dana kelab dengan menceburkan diri di dalam bidang – bidang perniagaan yang tidak begitu teknikal.
Beliau berkata bahawa pembukaan kedai dobi layan diri merupakan antara langkah awal kelab tersebut mencari dana sendiri melalui bidang perniagaan yang tidak begitu teknikal.
Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa kelab tersebut kini dalam perancangan melebarkan rangkaian dobi Kuching City ke Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.
“Pada tahun ini kami mahu membuka lebih banyak kedai dobi. Kita telah berbincang dan bermesyuarat dengan lembaga pengarah dan kita melihat kepada pernaigaan yang tidak melibatkan kepakaran dan tenaga yang banyak untuk kami menjalankan aktiviti perniagaan dan pada akhirnya, kajian mendalam kami memutuskan bahawa kedai dobi layan diri adalah paling sesuai.
“Kami merancang untuk buka lebih banyak lagi sebagai salah satu cara kami menjana pendapatan.
“Kita juga sedang melihat potensi untuk membuka kedai dobi bukan sahaja di Kuching dan Samarahan, tetapi di Kuala Lumpur.”jelasnya lagi.
Pada musim lepas, Kuchig City telah membuka kedai dobi layan diri pertamanya di Jalan Semarak di Petra Jaya.