Kuching City FC 2024 melangkah ke musim baharu dengan barisan pertahanan yang lebih ampuh.
Menurut Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, kehadiran dua tonggak baharu iaitu James Okwuosa dan Rodney Celvin Akwensivie mampu memantapkan lagi barisan pertahanan pasukan kendaliannya.
Aidil Sharin yang dilantik untuk mengemudi skuad The Cats pada Ogos lalu menerima tugasan mencabar untuk mengembalikan prestasi pasukan Kuching City FC yang dilihat merudum dalam aksi saingan Liga Super 2023 selepas menamatkan saingan Liga di tangga ke-13.
Bolos sebanyak 64 gol pada musim lalu, jurulatih tersebut mengakui kehadiran Okwuosa dari pasukan PDRM FCdan Rodney dari Kedah Darul Aman FC amat ditagih untuk mengecilkan jurang defisit gol pasukannya bagi musim baharu nanti.
Okwuosa yang membuat penampilan sebanyak 33 kali bersama PDRM FC pada musim lalu, berjaya menghasilkan empat gol dan membantu pasukan The Cops menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup bagi musim 2023.
Selain itu, Rodney pula yang bersama pasukan Kedah Darul Aman FC pada musim lalu berjaya membuat 27 penampilan sekali gus menjadikan khidmat dua pemain import baharu Kuching City FC ini ditagih untuk menstabilkan lagi barisan pertahanan pasukan ini.
“Dengan kehadiran James dan Rodney ke dalam skuad pada musim ini, saya yakin ia dapat membantu lebih banyak di barisan pertahanan,” jelas Aidil.
Jurulatih berusia 46 tahun itu juga menyatakan, beliau mahu terus kekal realistik untuk mencipta sasaran kepada pasukanya memandangkan Kuching City FC membelanjakan jumlah bajet yang sama seperti tahun lepas.
Tambahnya lagi, sasaran yang paling realistik pada ketika ini adalah untuk berada dalam lapan terbaik di dalam saingan Liga Super 2024-2025.
“Sasaran saya adalah untuk lebih baik pada musim lalu, jikalau kami berada dalam lapan terbaik Liga Super, itu adalah cukup baik bagi kami.” kata Aidil.
Aidil pada musim lalu berjaya membawa Kuching City FC sehingga ke final MFL Challenge Cup sebelum tumpas di tangan PDRM FC.
Sumber: MFL