Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto mencadangkan agar pemain bola sepak dikuarantin bagi membolehkan pemain – pemain tersebut berlatih secara biasa dalam satu pasukan.
Kurniawan mengakui sememangnya akur dengan SOP kini, tetapi pada masa yang sama, beliau mahukan latihan dapat diteruskan seperti biasa.
Beliau juga berharap PKP tidak akan lama agar Liga Malaysia boleh dilangsungkan seperti dirancang.
“Kita sememangnya akur dengan saranan kerajaan dan nampak keperluan kenapa banyak perkara diperketatkan, cuma harap mungkin sedikit kelonggaran boleh diberikan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti pemain dikuarantinkan dan tidak boleh pergi mana-mana selepas latihan, asalkan kami boleh berlatih seperti biasa.” kata Kurniawan.
“Bagaimanapun, ini hanya cadangan dan segala keputusan yang ditetapkan kerajaan kami akan hormati dan buat masa ini, kami akan terus gunakan cara latihan yang ada bagi hadapi musim depan dan harapan saya agar PKP tidak lama serta Liga Malaysia dapat berlangsung seperti dirancang oleh MFL, ” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Kurniawan memahami keperluan terhadap pelaksanaan PKP ekoran kes jangkitan pandemik COVID-19 yang semakin tinggi kebelakangan ini dan beliau memberitahu bahawa pemain – pemainya kini ada menjalani latihan sendiri.
Menurut jurulatih berbangsa Indonesia itu, pemain – pemain Sabah FC kini menghantar laporan sesi latihan individu mereka kepada dirinya, dan beliau bersyukur pemain sekurang – kurangnya boleh berlari bagi mengekalkan kecergaan masing – masing.
“Buat masa ini, pemain-pemain kembali jalani latihan secara individu dan mereka akan beritahu kepada saya serta jurulatih yang lain tiap kali selesai sesi latihan, ini sahaja pilihan yang ada buat masa ini.” jelas Kurniawan.
“Pemain-pemain ternyata dapat mengikuti segala arahan diberikan walaupun terpaksa menggunakan cara dalam talian dan pengalaman semasa PKP dahulu, memudahkan komunikasi saya dengan pemain.
“Cuma PKP kali ini, ada sedikit kelainan kerana pemain boleh keluar untuk sekurang-kurangnya berlari dan ini sekurang-kurangnya berikan mereka pilihan untuk mengekalkan daya kecergasan.” ujarnya lagi.
Kurniawan kembali melatih pasukan Sabah FC apabila pihak pengurusan persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bertindak melanjutkan kontrak beliau selepas Dato’ Sri Bung Moktar bin Radin dilantik memangku jawatan Presiden SAFA.