Biarpun sudah mengesahkan slot ke CIMB Liga Super pada musim depan dan layak ke TM Piala Malaysia, Kuala Lumpur masih mahu memburu kemenangan pada perlawanan terakhir bertemu Kuching FA bagi meletakkan pasukan itu muncul naib juara Liga Premier.
Ketua pasukan Kuala Lumpur, Paulo Josue, berkata, mereka sama sekali tidak akan mengambil mudah perlawanan itu yang dijadualkan pada 31 Oktober selain mahu mencari kembali keyakinan sebelum menghadapi kejohanan TM Piala Malaysia yang akan bermula 6 November ini.
Namun, pemain tengah yang berasal dari Brazil ini masih menghormati kemampuan Kuching FA yang disifatkannya berada di prestasi terbaik sebelum perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 9 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan.
“Kami masih punyai fokus dan serta misi tersendiri pada aksi terakhir itu nanti biarpun di atas kertas, kemenangan itu tidak beri apa-apa kesan terhadap kejayaan kami ke Liga Super musim depan.
“Cuma tiga mata pada perlawanan terakhir ini boleh meletakkan kami kedudukan yang lebih dihormati iaitu menjadi naib juara Liga Premier dan saya rasa situasi itu diinginkan oleh semua pemain.
“Walaupun latihan kami ada terkesan serba sedikit ekoran PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), kami tetap mahu berikan yang terbaik dan mahu menang ke atas Kuching FA.
“Cuma tidak boleh dinafikan ada sedikit kebimbangan melihat kepada kemampuan Kuching FA yang menang empat kali berturut-turut sebelum ini dan mungkin sukar jika kami mahu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan berkenaan, ” katanya.
Satu mata sahaja diperlukan oleh skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff ini untuk bergelar naib juara Liga Premier 2020 hasil perbezaan jaringan yang lebih besar seandainya terikat 22 mata dengan Terengganu FC II.
Josue yang berusia 31 tahun telah bersama Kuala Lumpur sejak pertengahan musim 2017 merupakan antara pemain paling lama bersama pasukan itu dan telah menjaringkan 27 gol.
Aksi Kuala Lumpur dan Kuching FA dijangka tetap akan berlangsung pada 31 Oktober dan venue perlawanan berlangsung di Stadium Hang Jebat pada pukul 5.00 petang.