Kuala Lumpur bakal mengiringi Pulau Pinang ke saingan CIMB Liga Super musim depan apabila meraih kemenangan dramatik 5-4 ke atas Selangor 2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Tiga mata itu sudah mencukupi buat skuad warga kota meninggalkan pencabar terdekat, Kelantan yang berada di tangga kelima dengan 11 mata, perbezaan 9 mata dengan hanya dua lagi baki perlawanan untuk diharungi.
Malah, kemenangan itu juga terus menghidupkan peluang buat Kuala Lumpur untuk terus mengintai kejuaraan Liga Premier dengan pendahulu, Pulau Pinang masih kebal di tangga teratas selepas menang 2-1 ke atas UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Jumaat lalu.
Pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, gembira dengan kejayaan layak ke CIMB Liga Super kerana pemain pernah berjanji pada awal musim kepada pihak pengurusan yang mereka mahu hanya satu musim sahaja di Liga Premier selepas tersingkir dari Liga Super, musim lalu.
“ Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang menjaga kebajikan pemain dan keadaan itu membantu pemain bekerja keras sepanjang musim ini bagi realisaskan impian serta janji yang telah dinyatakan iaitu layak ke Liga Super
“ Berbaki dua perlawanan lagi, kami akan cuba mendapatkan enam mata maksimum untuk cuba mengejar kedudukan pendahulu liga serta kita tengok bagaimana peluang kita namun secara keseluruhan, saya telah berpuas hati kerana kita akan ke Liga Super, musim depan, “ katanya.
Namun, Nidzam kurang berpuas hati dengan kerapuhan di barisan pertahanan sehingga membenarkan lawan mendapat empat gol termasuk tiga jaringan dalam tempoh lima minit.
“Ketiadaan Paulo Josue dan Shukor Adan memang buatkan aksi kami kucar kacir kerana tiada jeneral yang boleh bagi arahan di atas padang dan kami akan analisis perlawanan ini sepenuhnya kerana terkejut bagaimana lawan boleh dapatkan tiga gol dalam tempoh yang singkat.
“ Tidak pernah kami bolos empat gol dalam satu perlawanan setakat ini namun saya gembira pengalaman yang ada pada Indra Putra Mahayuddin menjadi penyelamat kepada kita hari ini sebelum mereka bangkit raih kemenangan, “ katanya.
Pemain tengah Selangor 2, Syazwan Salihin mengejutkan Kuala Lumpur pada minit keempat sebelum Kuala Lumpur melakar tiga jaringan melalui Fakrul Aiman(minit ke-33), Nicolas Dul (minit ke-34) dan Francis Kone (minit ke-41).
Pelawat bagaimanapun menghukum kelonggaran benteng Kuala Lumpur pada minit-62 dan 68 oleh Bajram Nebija serta Danial Asri, minit-66 sebelum jaringan sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin, minit-71 serta Muhd. Izreen, minit-79 memastikan tiga mata millik Kuala Lumpur.
Sementara itu, Casagrande dan Endrick dos Santos terus menjadi nadi kekuatan Pulau Pinang apabila jaringan masing-masing pada minit 48 dan 66 memadamkan gol pendahuluan UKM FC pada minit 17 oleh Akanni Sunday Wasiu bagi terus memastikan jurang tiga mata ke atas Kuala Lumpur terus dipertahankan.