Pemilihan mereka bukan sebarangan

Rata-rata komen di media sosial kini dilihat cenderung kepada menyalahkan pemain import Sarawak terhadap kegagalan pasukan Sarawak di dalam Liga Super.

Pelbagai penyelesaian telah peminat ajukan, dengan sesetengah mengatakan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) tersilap langkah mengambil pemain ‘buangan’ dari negeri lain.

Kami telah berjaya mengajukan persoalan berkenaan pemain import kepada Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datu Sudersono baru-baru ini, dan beliau memberikan penjelasan berkenaan pemilihan pemain import di bawah pengawasan beliau.

Menurut Sudarsono, pemilihan pemain import Sarawak bukanlah dibuat sebarangan. Beliau berkata bahawa pihaknya hanya mengambil pemain import setelah semua pihak, terutama sekali barisan kejurulatihan pasukan, bersetuju sebulat suara terhadap pengambilan seseorang import. Persetujuan diambil berdasarkan kebolehan pemain dan penilaian jurulatih-jurulatih Sarawak.

Sudarsono di dalam temubual ringkas tersebut turut berkata bahawa kejatuhan prestasi pemain import selepas mereka diambil sememangnya merunsingkan namun pihaknya tidak boleh menukar pemain tersebut sehingga pintu perpindahan dibuka semula. Dalam pada itu, Sudarsono turut menyatakan bahawa prestasi pemain import sememangnya tidak dapat diduga setelah mereka diambil kerana ada kalanya prestasi mereka jatuh mendadak, dan ada kalanya mereka mempamerkan aksi terbaik.

Sudarsono juga tidak menolak bahawa harga pemain dan sumber kewangan FAS juga perlu dilihat sebelum sesuatu pemain import diambil, sambil menyatakan bahawa Sarawak perlu berbelanja mengikut kemampuan bagi mengelakkan masalah kewangan seperti era sebelumnya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top