Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto melahirkan perasaan bersyukur beliau di atas satu mata yang dipungut oleh pasukan Sabah apabila menentang Selangor malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Sabah telah seri dengan Selangor 2 -2, dengan Amri Yahyah dan Bobby Gonzales menjaringkan gol untuk Sabah.
Biarpun berjaya mengutip satu mata, KUrniawan mengakui pengeluaran dua pemain utamanya, Amri Yahyah dan Azizan Nordin, telah menyebabkan pasukan beliau ‘berubah rupa’ pada babak kedua.
“Pertama saya bersyukur kerana memang kita mengawal perlawanan pada babak pertama tetapi apabila Azizan keluar, kita tidak ada pilihan kerana pemain yang bersedia hanya Jenius dan beliau pun baharu sahaja pulih dari kecederaan ” kata Kurniawan selepas perlawanan.
“Kemudian kita kalah di tengah.
“Selangor bisa tekan kita dan mereka banyak peluang tetapi kita juga ada dua peluang di awal babak kedua yang sepatutnya kita jadikan gol” jelas Kurniawan lagi.
Mengulas keputusan seri tersebut, Kurniawan menyatakan beliau berpuas hati dengan keputusan tersebut, dan beliau merasakan ianya adalah adil untuk kedua – dua pasukan.
“Bagi saya ini keputusan yang adil untuk kedua pasukan.” kata Kurniawan lagi.
Sabah buat masa ini belum konsisten dalam Liga Super dan masih mencari rentak untuk memastikan mereka akan terus kekal di Liga Super pada musim hadapan.