Kini giliran pasukan belia berpusat di Miri

Selepas pasukan Piala Presiden berpusat di Miri tahun ini, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah membuat keputusan untuk membawa pulang pasukan tersebut ke Kuching.

Sebagai ganti, pasukan Piala Belia Sarawak FA pula akan dihantar ke Miri pada musim hadapan, sekaligus menjadikan Miri sebagai pusat latihan dan venue tuan rumah bagi pasukan muda tersebut.

Perpindahan pasukan belia ke Miri telah diumumkan pada sidang media memperkenalkan Jawatan Kuasa Pemilihan Jurulatih & Pemain bagi pasukan Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia Sarawak FA Selasa lalu.

Turut diumumkan adalah pelantikan ahli politik dan juga ahli perniagaan Basil Thomas sebagai Exco Bebas yang baru FAS.

Beliau turut diumumkan sebagai pengurus pasukan skuad Piala Belia 2020 yang akan datang.

Perpindahan pasukan Belia ke Miri dilihat satu tindakan yang agak mengejutkan ekoran pasukan Piala Presiden yang dibimbing Abdul Jalil Hj Ramli sudah mempunyai asas dengan komuniti setempat yang agak kukuh.

Buat masa ini, adalah tidak diketahui sekiranya FAS akan mengekalkan ketua jurulatih bagi semua pasukan Sarawak FA, namun jika nama jawatankuasa yang baharu ditubuhkan digunapakai, FAS akan berkemungkinan melantik ketua jurulatih yang baharu.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top